Ahmad Zahid hormat, sedia terima keputusan MIC dengan hati terbuka

Ahmad Zahid berucap pada Sidang Kemuncak Ekonomi & Teknologi Cina Global (GCET) 2025 di Wisma MCA. Foto Bernama
Ahmad Zahid berucap pada Sidang Kemuncak Ekonomi & Teknologi Cina Global (GCET) 2025 di Wisma MCA. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau menghormati dan menerima dengan hati terbuka sebarang keputusan yang bakal dibuat MIC sekiranya parti itu memilih untuk keluar daripada gabungan berkenaan.

Presiden UMNO itu berkata, beliau juga tidak berhasrat untuk mencampuri urusan dalaman parti pimpinan Tan Sri S A Vigneswaran.

"Saya mengikuti dengan dekat apa yang telah diperbahaskan dalam Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MIC.

"Saya menghormati apa juga keputusan yang dibuat oleh perwakilan dan kepimpinan MIC. Saya tidak berhajat untuk mencampuri hal ehwal dalaman mereka.

"Apa juga keputusan yang dibuat oleh mereka, kita dengan berlapang dada dan hati terbuka menerimanya," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi China 2025 di Wisma MCA pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan, perwakilan MIC ketika AGM ke-79 yang berlangsung di Shah Alam, sebulat suara menyokong usul menamatkan penyertaan dalam BN dan menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk menentukan masa yang sesuai bagi berbuat demikian serta membentuk jajaran baharu.

Vigneswaran menjelaskan, Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu akan meneliti usul perwakilan bagi menentukan langkah seterusnya.

Sementara itu ditanya mengenai saranan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu mengatur perjumpaan dengan pimpinan tertinggi MIC untuk perbincangan, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyifatkan langkah berkenaan sebagai pendekatan terbaik.

"Itu (perbincangan) adalah satu pendekatan yang baik. Dan apa pun keputusan yang akan dibuat, terserah kepada parti berkenaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghormati sebarang keputusan MIC untuk keluar dari gabungan
  • Beliau tidak berhasrat mencampuri urusan dalaman parti MIC
  • Ahmad Zahid mengikuti debat dalam Perhimpunan Agung Tahunan MIC dan menghormati keputusan yang dibuat
  • Perwakilan MIC menyokong usul untuk keluar dari BN dalam AGM ke-79
  • Timbalan Pengerusi BN mencadangkan perjumpaan dengan pimpinan MIC untuk perbincangan, dianggap pendekatan yang baik oleh Ahmad Zahid

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!