Armizan dakwa Bung 'menteri paling gagal'

TAWAU - Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali mendakwa Datuk Seri Bung Moktar Radin menteri paling gagal dalam sejarah peradaban manusia.
Menurut Armizan, kegagalan bekas Menteri Kerja Raya (KKR) Sabah itu menyebabkan kerajaan GRS kerugian dua tahun memulihkan Sabah.
Katanya, kegagalan itu dapat dilihat melalui isu air dan elektrik yang tidak menunjukkan sebarang kemajuan.
"Semasa dua tahun Bung Moktar menjadi Menteri Kerja Raya Sabah, tidak ada projek utama penstabilan bekalan air mula dilaksana.
"Contohnya di Tawau sendiri, Projek Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 2 Tawau hanya dilaksana selepas beliau tidak wujud di KKR, iaitu bermula 22 Julai 2025 dan dijangka siap 22 Julai 2028.
"Di kawasan saya di Papar juga, projek naik taraf LRA Kogopon yang telah ada dalam perancangan lebih awal, hanya dapat dimulakan pada bulan Ogos 2023, setelah beliau tiada di KKR dan Datuk Ir Shahelmy Yahya menjadi Menteri KKR baharu.
"Kedua-dua projek ini telah ada dalam perancangan, dan sebagai Menteri KKR, jangan tuding jari kegagalan kepada pihak lain," katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Jentera Muda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu di Tawau, pada Selasa malam.
Menurutnya, hakikat sebenar ialah menterinya gagal kerana penggantinya berjaya menggerakkan projek-projek berkenaan.
"Kerajaan GRS juga telah merancang satu lagi projek baharu iaitu Projek LRA Balung Dua yang dijadual bermula tahun 2026.
"Berkaitan isu elektrik khususnya kuasa kawal selia elektrik, secara rasmi dipindahkan kepada Kerajaan Sabah hanyalah pada 3 Januari 2024.
"Selepas 41 tahun kuasa kawal selia dipegang oleh kerajaan Persekutuan iaitu sejak tahun 1983," katanya.
Armizan turut menjelaskan bahawa agensi pembekal tenaga, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), sehingga kini masih dimiliki secara majoriti oleh kerajaan Persekutuan melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Maka, tidak wajar hanya menyalahkan kerajaan GRS kerana sekian lama kuasa dipegang oleh kerajaan Pusat.
"Semasa menjadi Menteri KKR, walaupun elektrik bukanlah di bawah bidang tugas Menteri KKR, namun Bung sentiasa mahu tunjukkan kuasa.
"Bung mahu dua orang Ketua Bahagian UMNO di Sabah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah SESB atas lantikan Menteri Tenaga Malaysia dari Parti UMNO melalui cadangan Bung sendiri," katanya.
Beliau kemudian mempersoalkan keberkesanan peranan wakil UMNO dalam SESB.
Menurutnya, apa sumbangan dan pencapaian wakil UMNO dalam SESB dan Menteri Tenaga UMNO menyelesaikan isu elektrik di Sabah. Ternyata wakil-wakil UMNO ini gagal.
"Hakikatnya bila Bung dan UMNO tidak ada dalam kerajaan Sabah dan kuasa kawal selia diberi kepada kerajaan GRS.
"Banyak projek penstabilan bekalan elektrik yang telah mula dilaksana, termasuk Projek Rangkaian Grid ke Pantai Timur Southern Link Fasa Satu yang bermula tahun 2024.
"Takdir tuhan menentukan Bung sebagai 'menteri gagal' keluar dari kerajaan negeri telah membolehkan banyak projek penstabilan bekalan air dan elektrik telah mula berjalan di Sabah," katanya.
Ringkasan AI
- Timbalan Setiausaha Agung GRS mendakwa Bung Moktar Radin sebagai menteri paling gagal
- Kegagalan Bung Moktar sebagai Menteri Kerja Raya Sabah menyebabkan kerugian dua tahun untuk memulihkan Sabah
- Tidak ada projek utama penstabilan bekalan air dilaksanakan selama Bung Moktar menjadi Menteri Kerja Raya Sabah
- Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Cinta Mata 2 dan naik taraf LRA Kogopon hanya dimulakan setelah Bung Moktar tiada di KKR
- Banyak projek penstabilan bekalan air dan elektrik di Sabah mula dilaksanakan setelah Bung Moktar dan UMNO tidak lagi berkuasa di Sabah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
