[VIDEO] Dua bersaudara mengaku tidak bersalah aniaya beruk

A
A
A

BACHOK - Dua lelaki bersaudara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bachok di sini pada Rabu atas pertuduhan menganiaya seekor beruk jantan yang tular di laman sosial.

Tertuduh, Muhamad Amirul Afiq Sanusi, 24, dan Muhammad Khairul Aziman Shamsudin, 28, memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amin Rashidi Ramli.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhamad Amirul didakwa sengaja mendatangkan penganiayaan kepada seekor beruk jantan warna coklat dengan cara memukul dan menakut-nakutkannya di tepi sebuah rumah kosong di Kampung Jembal, Jalan Tawang di sini pada jam 6.30 petang pada 1 November lalu.

Sementara, Muhammad Khairul Aziman, dua sepupu kepada Muhamad Amirul didakwa atas pertuduhan bersubahat atas perbuatan yang sama pada tarikh, masa dan lokasi sama dalam pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Kesalahan mereka boleh dihukum penjara sehingga setahun atau dengan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid dan menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh.

Kedua tertuduh yang diwakili peguam, Muhammad Habil Zainal Abidin bagaimanapun dalam rayuan memohon dikurangkan jaminan dengan alasan kewangan dan kesalahan adalah kali pertama.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Disember ini sebagai sebutan semula kes.

Terdahulu, tular paparan video berdurasi satu minit 45 saat memaparkan seorang lelaki bertindak menampar, memukul dan menyeret seekor beruk tanpa belas ihsan sehingga menimbulkan reaksi negatif dan kecaman masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, laporan polis dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 kerana penderaan terhadap haiwan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyebaran kandungan jelik melalui media sosial.

Ringkasan AI

  • Dua lelaki bersaudara mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya seekor beruk jantan
  • Muhamad Amirul didakwa memukul dan menakut-nakuti beruk, Muhammad Khairul Aziman didakwa bersubahat
  • Kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda RM50,000
  • Kedua tersangka diikat jamin RM5,000 setelah rayuan dan 24 Disember ditetapkan untuk sebutan semula kes
  • Video tindakan kejam terhadap beruk tular di media sosial, mengundang reaksi negatif dan kecaman masyarakat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!