Dua lelaki tampar, hempas beruk ditahan polis

Tangkap layar rakaman suspek menghempas beruk.
Tangkap layar rakaman suspek menghempas beruk.
A
A
A

BACHOK – Seorang lelaki yang dipercayai individu dalam video tular menampar dan menghempas seekor beruk jantan telah ditahan polis bersama seorang lagi rakannya yang merakam kejadian terbabit.

Kedua-dua suspek berusia 24 dan 28 tahun itu ditahan pada jam 10 malam Jumaat dalam serbuan di kawasan Jelawang, di sini susulan aduan orang ramai selepas rakaman tersebut mencetuskan kemarahan warganet dan pertubuhan kebajikan haiwan.

Kedua-duanya telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Sabtu bagi permohonan reman.

Mahkamah kemudiannya membenarkan perintah reman selama empat hari hingga Selasa ini terhadap kedua-dua suspek, yang dikeluarkan oleh Majistret Amin Rashidi Ramli.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamluddin ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan tangkapan terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 berkaitan perbuatan mendera atau menyakiti haiwan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyebaran kandungan jelik di media sosial.

Sebelum ini, media melaporkan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu dipaparkan dalam rakaman berdurasi satu minit 45 saat yang dikongsikan di laman Facebook Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia sejak Jumaat, sekali gus mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki yang menampar dan menghempas seekor beruk jantan ditahan polis bersama rakannya yang merakam kejadian itu
  • Kedua-dua suspek berusia 24 dan 28 tahun ditahan di kawasan Jelawang susulan aduan orang ramai
  • Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu untuk permohonan reman
  • Mahkamah membenarkan perintah reman selama empat hari
  • Kes disiasat mengikut Akta Binatang 1953 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!