Beruk dicekik, dihempas, tampar berkali-kali

KOTA BHARU - Insiden seekor beruk dicekik, dihempas dan ditampar berkali-kali oleh seorang lelaki dipercayai berlaku di sebuah negeri di Pantai Timur berdasarkan loghat yang digunakan pelaku.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan tersebut dipaparkan dalam sebuah rakaman berdurasi seminit 45 saat yang dikongsikan di laman Facebook Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) pada Jumaat.
Rakaman terbabit memaparkan seorang lelaki duduk berdekatan dan mengajak beruk tersebut berlawan sebelum haiwan itu pergi ke arahnya lalu cuba menggigit lengan serta betis lelaki berkenaan.

Lelaki itu bagaimanapun mencekik sebelum memegang bahagian besi pada leher beruk berkenaan dan menampar haiwan itu berkali-kali, selain menghempas serta menyeretnya di atas rumput.
SAFM dalam kenyataannya turut mendesak tindakan segera terhadap kes penganiayaan beruk berkenaan yang dipercayai berlaku di Kelantan.
SAFM menerima aduan itu daripada orang ramai mengenai satu video yang kini tular di media sosial,
“Beruk tersebut dilihat diikat menggunakan rantai, ditampar beberapa kali dan dihentak hingga menyebabkan haiwan tersebut mengalami kesakitan.
“Kami mendesak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mengambil tindakan segera,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, SAFM akan terus memantau perkembangan kes tersebut dan memastikan pihak berkuasa bertindak tegas serta segera keadilan dapat ditegakkan.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Kelantan, Mohamad Hafid Rohani ketika dihubungi Sinar Harian, meminta pihak tampil membuat aduan rasmi berhubung perkara itu.
“Bantu kami salurkan perincian termasuk lokasi tepat kejadian penganiayaan ini.
“Mana-mana saksi atau individu yang mempunyai maklumat berkait kejadian juga perlu tampil untuk siasatan,” katanya.
Ringkasan AI
- Insiden seekor beruk dicekik, dihempas dan ditampar oleh seorang lelaki dipercayai berlaku di Pantai Timur
- Perbuatan penganiayaan itu dipaparkan dalam video yang dikongsikan di Facebook Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia
- Rakaman menunjukkan lelaki tersebut mengajak beruk berlawan yang kemudian mencuba menggigit
- SAFM mendesak tindakan segera daripada pihak berkuasa terhadap kes penganiayaan tersebut
- Pengarah Perhilitan Negeri Kelantan meminta aduan rasmi dan maklumat daripada saksi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

