Rancang bunuh Presiden Brazil, pegawai tentera dipenjara 24 tahun

Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva
Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva
A
A
A

RIO DE JANEIRO - Panel hakim Mahkamah Agung Brazil pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara sehingga 24 tahun terhadap sembilan pegawai tentera berpangkat tinggi dan seorang anggota polis Persekutuan.

Menurut laporan AP, mahkamah mendapati tertuduh bersalah kerana cuba melakukan rampasan kuasa dan merancang untuk membunuh Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva.

Antara nama yang termasuk dalam senarai pembunuhan ialah Naib Presiden Brazil, Geraldo Alckmin, dan Hakim Mahkamah Agung, Alexandre de Moraes.

Pada September lalu, panel Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara 27 tahun tiga bulan terhadap bekas Presiden negara tersebut, Jair Bolsonaro, kerana mengetuai organisasi jenayah yang cuba menggulingkan keputusan pilihan raya 2022 ketika Lula menewaskannya.

Pada masa itu, panel turut menjatuhkan hukuman ke atas beberapa sekutu rapat lain yang menurut para hakim merupakan sebahagian daripada ‘kumpulan teras’.

Daripada 10 tertuduh yang membentuk kumpulan itu, sembilan merupakan pegawai tentera berpangkat tinggi manakala seorang lagi ialah anggota polis Persekutuan.

Panel empat hakim sebulat suara mensabitkan sembilan daripada mereka, sementara seorang jeneral bersara dibebaskan kerana kekurangan bukti.

Tujuh daripada mereka disabitkan atas kesalahan cubaan penghapusan terhadap kedaulatan undang-undang demokratik, rampasan kuasa, penyertaan dalam organisasi jenayah bersenjata, kerosakan teruk serta kemerosotan warisan tersenarai.

Dua lagi disabitkan atas kesalahan yang kurang serius, iaitu bersekongkol dalam jenayah dan hasutan awam untuk menimbulkan permusuhan antara angkatan tentera dengan pihak berkuasa berperlembagaan.

Artikel Berkaitan:

Hukuman yang dijatuhkan berbeza antara satu tahun 11 bulan hingga 24 tahun, dengan empat tertuduh dipenjara melebihi dua dekad.

Hakim Flávio Dino ketika menyampaikan keputusan undi berkata ia bukan sekadar tindakan kecil, tetapi satu rampasan kuasa yang dirancang untuk menangkap dan membunuh orang, membatalkan perlembagaan, hak kewarganegaraan serta kebebasan media.

“Ini bukan sekadar andaian, semuanya telah ditulis dalam perancangan.

“Brazil sekali lagi, akibat sikap tidak bertanggungjawab dan kurangnya patriotisme segelintir pihak, bermain-main dan hampir terjerumus ke dalam jurang kegelapan institusi,” katanya.

Minggu lalu, Peguam Negara, Paulo Gonet, menunjukkan bukti bahawa seorang anggota polis Persekutuan telah menyusup masuk ke dalam pasukan keselamatan Presiden terpilih ketika itu bagi menjayakan rancangan ganas kumpulan tersebut.

Rancangan itu tidak diteruskan kerana kekurangan sokongan daripada Panglima Tentera Darat, menurut Moraes yang menyelia kes rampasan kuasa berskala besar tersebut.

Pesalah yang disabitkan hanya akan mula menjalani hukuman setelah semua proses rayuan selesai.

Ini termasuk Bolsonaro yang berada di bawah tahanan rumah sejak Ogos.

Panel hakim baru-baru ini menolak rayuan yang difailkan pasukan undang-undang bekas presiden itu, tetapi satu lagi permohonan boleh dikemukakan.

Perbicaraan Bolsonaro mendapat liputan meluas di peringkat antarabangsa.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengenakan tarif 50 peratus ke atas barangan import dari Brazil dan sebahagiannya merujuk kepada kes Bolsonaro yang digelar sebagai ‘pemburuan ahli sihir’.

Tindakan itu mencetuskan kemerosotan ketara hubungan AS-Brazil, yang digambarkan oleh pakar sebagai tahap terendah dalam tempoh lebih 200 tahun sejarah kedua-dua negara.

Bagaimanapun, hubungan kini bertambah baik selepas Lula dan Trump berbual melalui telefon sebelum bertemu bulan lalu di Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Ringkasan AI

  • Panel hakim Mahkamah Agung Brazil menjatuhkan hukuman penjara terhadap sembilan pegawai tentera dan seorang anggota polis Persekutuan
  • Mahkamah mendapati tertuduh bersalah cuba melakukan rampasan kuasa dan merancang untuk membunuh Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva
  • Bekas Presiden Jair Bolsonaro dijatuhkan hukuman penjara 27 tahun tiga bulan kerana mengetuai cubaan menggulingkan keputusan pilihan raya
  • Empat hakim secara sebulat suara mensabitkan sembilan daripada sepuluh tertuduh dengan pelbagai kesalahan termasuk cubaan penghapusan terhadap kedaulatan undang-undang demokratik
  • Hukuman yang dijatuhkan berbeza dari satu tahun 11 bulan hingga 24 tahun, dan pesalah hanya akan mula menjalani hukuman setelah semua proses rayuan selesai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!