Kelindan lori dipenjara lima tahun amang seksual anak saudara di kebun pisang

SEREMBAN - Seorang kelindan lori dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya di kebun pisang di Nilai, tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 47 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas pertuduhan dibacakan.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling dan pengawasan polis selama setahun selepas selesai hukuman.
Mengikut dua pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun empat bulan ketika kejadian dengan cara memeluk mangsa dan menunjukkan kemaluan kepadanya.
Perbuatan terbabit dikakukan pada Mei 2024 jam lebih kurang 12.30 tengah hari di kawasan kebun pisang Kampung Stesen 3, Nilai.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(b) yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.
Tertuduh juga didakwa di bawah Seksyen 15(a)(i)Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Ini kerana dirinya bekerja sebagai kelindan lori, sudah berkahwin dan menanggung lima anak, tambahnya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira mangsa yang masih muda.
Beliau berkata, tertuduh yang merupakan bapa saudara sepatutnya melindungi mangsa dan mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi tertuduh.
Ringkasan AI
- Seorang kelindan lori dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya
- Tertuduh berusia 47 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban
- Mengikut pertuduhan, tertuduh memeluk dan menunjukkan kemaluan kepada mangsa berusia 10 tahun empat bulan
- Kejadian berlaku di kebun pisang Kampung Stesen 3, Nilai pada Mei 2024
- Tertuduh perlu menjalani kaunseling dan pengawasan polis selama setahun selepas hukuman penjara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

