MAIDAM bantu wanita asnaf terhimpit masalah perundangan di Mahkamah Syariah

Shaikh Harun (dua dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian kerjasama antara Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan (kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman Malaysia, Datuk Norazmi Mohd Narawi (kanan).
Shaikh Harun (dua dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian kerjasama antara Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan (kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman Malaysia, Datuk Norazmi Mohd Narawi (kanan).
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memeterai jalinan kerjasama dengan Jabatan Bantuan Guaman Malaysia bagi memperkukuh kebajikan golongan asnaf, khususnya wanita yang berdepan masalah perundangan di Mahkamah Syariah.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, kerjasama ini disifatkan sebagai langkah ke hadapan dalam memastikan golongan yang serba kekurangan terutama wanita teraniaya, memperoleh akses sewajarnya kepada keadilan tanpa dibebani tekanan kewangan.

Menurutnya, perjanjian tersebut menjadi inisiatif penting untuk membela asnaf yang memerlukan sokongan kewangan bagi membawa kes ke mahkamah namun tidak mampu menanggung kos guaman.

"Melalui kerjasama ini, kita ingin memastikan golongan asnaf, terutamanya wanita yang sedang berhadapan tekanan emosi, kewangan dan perundangan tidak terus terhimpit.

"Bantuan guaman ini bukan bertujuan menggalakkan perceraian, sebaliknya sebagai usaha menyelesaikan masalah rumah tangga secara baik mengikut lunas undang-undang," katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama MAIDAM bersama Jabatan Bantuan Guaman Malaysia di Pejabat MAIDAM di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan dan Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman Malaysia, Datuk Norazmi Mohd Narawi.

Shaikh Harun (tengah) merakam gembar bersama semua wakil Jabatan Bantuan Guaman Malaysia pada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama di Pejabat MAIDAM, pada Selasa.
Shaikh Harun (tengah) merakam gembar bersama semua wakil Jabatan Bantuan Guaman Malaysia pada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama di Pejabat MAIDAM, pada Selasa.

Menurut Shaikh Harun, isu-isu seperti perceraian, tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak sering menyebabkan wanita terabai apabila tidak mempunyai kemampuan untuk melantik peguam atau menguruskan proses mahkamah yang kompleks.

"Jika perkahwinan bermula dengan cara baik, penyelesaiannya juga perlu dibuat secara baik. Namun proses tersebut memerlukan kos, dokumen dan khidmat profesional.

Artikel Berkaitan:

"Di sinilah bantuan guaman berperanan untuk menyokong mahkamah menyediakan keputusan yang adil," katanya.

Jelas beliau, melalui kerjasama itu, asnaf Ar-Riqab yang layak akan menerima bantuan guaman kes Mahkamah Syariah meliputi Fi mahkamah sehingga RM150 dan Fi guaman sehingga RM2,000.

"Empat jenis kes yang layak menerima bantuan ini meliputi penceraian secara taklik (termasuk persetujuan bersama), tuntutan fasakh, tuntutan nafkah anak dan tuntutan nafkah diri.

"Kategori kes tersebut merupakan antara yang paling kerap menjadikan wanita terbeban dari aspek emosi, kewangan dan perundangan,"ujarnya.

Shaikh Harun turut memaklumkan, MAIDAM menyediakan peruntukan besar bagi menyokong inisiatif ini sejak beberapa tahun lalu dengan jumlah keseluruhan RM604,150.

"Pada 2021, MAIDAM menyalurkan RM118,250 kepada 55 penerima, diikuti RM53,750 kepada 25 penerima pada 2022.

"Bagi tahun 2023, sebanyak RM70,950 disalurkan kepada 33 penerima, manakala pada 2024 jumlah itu meningkat kepada RM148,350 melibatkan 69 penerima dan pada 2025 pula, seramai 99 penerima menerima bantuan berjumlah RM212,850, " katanya.

Beliau berkata, kerjasama rasmi itu memberi gambaran jelas kepada masyarakat bahawa bantuan tersebut boleh diakses secara sah dan teratur, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada asnaf untuk mendapatkan perkhidmatan guaman berkualiti.

Katanya, permohonan bantuan boleh dibuat melalui Jabatan Bantuan Guaman Malaysia di seluruh negeri.

"Kita bersyukur kerana kesedaran masyarakat menunaikan zakat semakin meningkat.

"Dengan peningkatan hasil kutipan, MAIDAM mampu memperluaskan bantuan ini kepada mereka yang benar-benar memerlukan," jelasnya.

 

Ringkasan AI

  • MAIDAM memeterai kerjasama dengan Jabatan Bantuan Guaman Malaysia untuk memperkukuh kebajikan golongan asnaf wanita di Mahkamah Syariah
  • Kerjasama ini bertujuan memastikan golongan asnaf memperoleh akses keadilan tanpa bebanan kewangan
  • Bantuan ini disediakan untuk kes penceraian, tuntutan fasakh, nafkah anak dan diri
  • MAIDAM menyediakan peruntukan besar bagi sokongan inisiatif ini dengan peningkatan jumlah bantuan setiap tahun
  • Permohonan bantuan boleh dibuat melalui Jabatan Bantuan Guaman Malaysia di seluruh negeri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!