'Umum dulu, syarat kemudian' - Azam Kelantan persoal pengurusan aktiviti mendulang emas

Azam Kelantan menyuarakan kekecewaan terhadap kebenaran mendulang emas tanpa garis panduan jelas.
Azam Kelantan menyuarakan kekecewaan terhadap kebenaran mendulang emas tanpa garis panduan jelas.
A
A
A

KOTA BHARU - Pertubuhan Pemikir Azam Kelantan (Azam Kelantan) kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang didakwa mengumumkan kebenaran mendulang emas tanpa menyediakan syarat perlesenan serta mekanisme pemantauan yang jelas terlebih dahulu.

Koordinatornya, Nizam Muhamad berkata, ia secara tidak langsung menunjukkan kelemahan pengurusan hasil bumi negeri.

Menurut beliau, ketiadaan garis panduan jelas menyebabkan kerajaan negeri tidak dapat mengutip sebarang levi atau lesen, malah tiada unit khas diwakilkan untuk memantau sama ada individu yang turun mendulang emas benar-benar rakyat Kelantan seperti yang diumumkan.

"Budaya umum kebenaran dulu, kaji syarat kemudian tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah kerajaan yang telah memerintah lebih 30 tahun. Apatah lagi pimpinan sekarang pernah menjadi Exco selama beberapa penggal," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri perlu segera menyediakan syarat perlesenan lengkap berserta garis masa penguatkuasaan bagi memastikan aktiviti mendulang emas tidak menimbulkan masalah pada kemudian hari.

Ujarnya, sekiranya syarat ditetapkan lebih awal, kerajaan negeri dapat mengelakkan kerosakan alam sekitar, mengawal aktiviti perlombongan yang berselindung di sebalik mendulang emas serta memastikan hasil kutipan lesen masuk ke perbendaharaan negeri untuk digunakan bagi pembangunan infrastruktur.

“Kami bimbang jika tiada syarat jelas, akan timbul beberapa isu termasuk perlombongan haram, warga luar menumpang nama rakyat Kelantan dan potensi pencemaran alam sekitar,” katanya.

Nizam berkata, kerajaan negeri perlu segera memperincikan syarat, menetapkan unit pemantau dan memperkemaskan dasar agar perkara yang tidak diingini dapat dielakkan.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Pertubuhan Pemikir Azam Kelantan kecewa kerajaan negeri mengumumkan kebenaran mendulang emas tanpa syarat perlesenan
  • Ketiadaan garis panduan menyebabkan kerajaan negeri gagal mengutip levi atau lesen
  • Kerajaan negeri didesak menyediakan syarat perlesenan lengkap untuk mengawal aktiviti mendulang emas
  • Tanpa syarat jelas, timbul risiko pencemaran alam sekitar dan perlombongan haram
  • Kerajaan negeri perlu perincikan syarat dan menetapkan unit pemantau untuk mengelak masalah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!