Cklamovski 'pening kepala' pilih kesebelasan utama

PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengakui berdepan kesukaran untuk menetapkan kesebelasan utama bagi menghadapi Nepal dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam ini.
Menurutnya, semua pemain yang dipanggil berada pada kualiti dan tahap kecergasan terbaik sekali gus menyaksikan beliau berada dalam dilema untuk mencatur pemain yang akan membarisi skuad utama.
Beliau berkata, meskipun Matthew Davies dan Faisal Halim pada mulanya menjalani latihan yang diubah suai berdasarkan keadaan kecergasan masing-masing, kedua-dua pemain itu kini telah bersedia sepenuhnya.
“Semua pemain boleh diturunkan. Matthew Davies dan Faisal Halim pada awal kem latihan ini menjalani program yang diubah suai berdasarkan keadaan mereka di kelab.
“Tetapi, pasukan prestasi tinggi dan pasukan perubatan telah melakukan tugas yang sangat baik dengan mereka. Mereka kini sudah bersedia dan berlatih sepenuhnya bersama pasukan, ini semua sebahagian daripada rancangan kami.
“Jadi, saya perlu membuat keputusan yang sukar, dan ia sesuatu yang bagus untuk saya. Mengenai kesebelasan utama, setiap pemain layak untuk bermula.
“Sesiapa sahaja yang dimasukkan dari bangku simpanan juga akan memberi impak. Apa yang penting, jika dilihat pada profil skuad, kami sedang membina persaingan sihat untuk setiap posisi dan mempunyai kedalaman skuad yang baik," katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan di SNBJ.
Skuad negara memburu tiga mata berharga dalam perlawanan menentang Nepal untuk memastikan mereka terus kekal di kedudukan teratas Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027.
Malaysia ketika ini telah mengumpul 12 mata mengatasi Vietnam di kedudukan kedua yang memungut sembilan mata, manakala Laos di kedudukan ketiga dengan tiga mata dan Nepal tanpa sebarang mata.
Dalam pada itu, Jurulatih kelahiran Australia itu juga tidak menolak kemungkinan untuk menyenaraikan gandingan Faisal, Luqman Hakim Shamsudin dan Arif Aiman Hanapi di jentera serangan untuk merobek gawang Nepal.
"Kemungkinan besar," katanya ringkas.
Sebelum ini, skuad negara menerima suntikan baharu di jentera serangan selepas Luqman Hakim kembali disenaraikan bagi menggantikan penyerang naturalisasi negara, Jordan Mintah yang mengalami masalah kesihatan.
Justeru, ramai peminat bola sepak negara yang mahu melihat gandingan bakat tempatan iaitu Faisal, Luqman dan Arif Aiman dipertaruhkan dalam perlawanan itu.
Ringkasan AI
- Peter Cklamovski mengakui kesukaran menetapkan kesebelasan utama menghadapi Nepal dalam Kelayakan Piala Asia 2027
- Semua pemain dalam keadaan kecergasan terbaik dan Peter berada dalam dilema untuk memilih skuad
- Matthew Davies dan Faisal Halim telah bersedia sepenuhnya untuk beraksi
- Malaysia berusaha mengumpul tiga mata berharga untuk kekal di kedudukan teratas Kumpulan
- Faisal, Luqman Hakim Shamsudin, dan Arif Aiman Hanapi mungkin digandingkan di jentera serangan melawan Nepal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
