Motivasi pemain Harimau Malaya pada tahap terbaik

Skuad Harimau Malaya giat menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Nepal pada Selasa ini. Foto Malaysia NT
Skuad Harimau Malaya giat menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Nepal pada Selasa ini. Foto Malaysia NT
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya kini berada pada tahap persiapan yang baik menjelang pertembungan penting menentang Nepal dalam aksi Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Pemain-pemain negara telah menjalani beberapa sesi latihan intensif sepanjang tiga hari terakhir bagi memastikan setiap aspek fizikal, taktikal dan mental berada pada tahap terbaik sebelum perlawanan.

Pertahanan negara, Harith Haiqal yang menjadi tunjang di benteng pertahanan menyifatkan kem latihan setakat ini berjalan lancar dan memberi keyakinan penuh kepada semua pemain.

“Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan dengan baik dan latihan juga berjalan.

“Insya-ALLAH, kami semua bersedia untuk perlawanan pada 18 November nanti,” katanya.

Mengulas mengenai keserasian di benteng pertahanan, Harith menegaskan beliau tidak berdepan masalah untuk bergandingan dengan sesiapa sahaja mengikut percaturan ketua jurulatih, Peter Cklamovski.

“Kita tak tahu apa rancangan coach Peter buat masa sekarang. Tapi dengan sesiapa sahaja saya berganding, Insya-ALLAH saya tak ada masalah. Saya akan sentiasa bagi yang terbaik,” ujarnya.

Sementara itu, kapten Harimau Malaya, Dion Cools, berkata fokus utama skuad negara tetap terarah kepada persiapan pasukan biarpun isu penggantungan tujuh pemain warisan serta denda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih menjadi tumpuan.

“Ya, kami tahu isu itu, tetapi kami tidak membincangkannya buat masa ini,” kata Cools.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan oleh FAM dan tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu terhadap FAM dan tujuh pemain warisan atas kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen di bawah Perkara 22 Kod Disiplin FIFA (FDC).

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CFH2,000 (sekitar RM11,000).

Ketujuh-tujuh pemain berkenaan turut digantung selama 12 bulan daripada aktiviti berkaitan bola sepak dan ketika ini FAM sedang mempertimbangkan untuk membawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

 

 

Ringkasan AI

  • Skuad Harimau Malaya bersiap sedia untuk pertemuan penting dengan Nepal dalam Kelayakan Piala Asia
  • Pemain-pemain telah menjalani latihan intensif selama tiga hari untuk persiapan fizikal, taktikal, dan mental
  • Pertahanan negara, Harith Haiqal, merasa positif dengan persiapan yang telah dilakukan
  • Kapten, Dion Cools, menegaskan fokus pasukan adalah pada persiapan meskipun ada isu penggantungan tujuh pemain
  • FAM dan tujuh pemain dikenakan hukuman dan denda oleh FIFA berkaitan pemalsuan dokumen

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!