Barang tiruan, LPG bernilai RM4.5 juta dirampas hingga Oktober

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur merampas serta menyita pelbagai jenis barangan bernilai RM4.5 juta bermula Januari hingga Oktober lalu.
Pengarahnya, Mohd Sabri Seman berkata, rampasan membabitkan pemeriksaan dan operasi ke atas 34,566 premis di ibu negara.
“Rampasan kebanyakkannya membabitkan barangan tiruan dan rampasan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi yang diseleweng di mana membabitkan jumlah nilai rampasan besar.
“Daripada pemeriksaan-pemeriksaan itu, KPDN Kuala Lumpur membuka sebanyak 546 kes, di mana antara tertinggi di Malaysia yang signifikan dalam bentuk kompaun, denda dan rampasan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik Program Pasar Patuh (3P) Wilayah Persekutuan di sini pada Isnin.
Dalam perkembangan lain beliau berkata, pihaknya menerima 8,424 aduan sepanjang tahun ini membabitkan pelbagai kes terutama melibatkan tanda harga mengelirukan atau tiada tanda harga.
"Daripada jumlah itu pihaknya berjaya menyelesaikan 8,178 aduan atau 97.07 peratus daripada jumlah keseluruhan, dan selebihnya masih dalam tindakan," katanya.
Mohd Sabri berkata, pihaknya menganggarkan menerima kira-kira 10,000 aduan menjelang hujung tahun, berdasarkan jumlah aduan yang diterima pada tahun sebelumnya.
“Selain aktiviti penguatkuasaan, KPDN Kuala Lumpur juga giat menjalankan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di 11 kawasan Parlimen di ibu negara.
“Program ini sudah bermula sejak 2022 dan menawarkan penjualan barangan keperluan harian dalam bentuk barang makanan (mentah atau siap) dan barang bukan makanan pada harga 10 ke 30 peratus lebih murah dari harga pasaran,” katanya.
Ringkasan AI
- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kuala Lumpur merampas barangan bernilai RM4.5 juta dari Januari hingga Oktober
- Rampasan melibatkan pemeriksaan di 34,566 premis dan kebanyakannya adalah barangan tiruan dan gas petroleum cecair bersubsidi yang diseleweng
- KPDN Kuala Lumpur membuka 546 kes yang merupakan antara tertinggi di Malaysia
- Menerima 8,424 aduan pada tahun ini terutamanya mengenai tanda harga mengelirukan atau tiada tanda harga, dengan 97.07 peratus telah diselesaikan
- Menjalankan Program Jualan Rahmah Madani menawarkan barangan keperluan harian pada harga lebih murah dari pasaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
