RISDA sasar 70,000 metrik tan getah pekebun kecil Sabah melalui depoh berkelompok

KOTA KINABALU - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menetapkan sasaran sebanyak 70,000 metrik tan hasil getah pekebun kecil di Sabah dapat diurus secara berkelompok menerusi pembinaan rangkaian depo pengumpulan hasil di negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, langkah strategik itu selaras dengan pelaksanaan Model Transformasi RISDA (MTR) 2026–2030, yang menumpukan usaha mengembalikan era kegemilangan Malaysia sebagai pengeluar getah utama dunia.
Beliau berkata, RISDA menerusi model itu menyasarkan pengeluaran getah negara mencapai 1 juta tan metrik setahun menjelang akhir tahun 2030, sekali gus memastikan pendapatan pekebun kecil berada pada tahap kompetitif.
"Inisiatif berkenaan melibatkan pembinaan 10 unit depo pengumpulan hasil getah di Sabah menjelang akhir 2026. Depoh itu berfungsi sebagai hab pengumpulan getah bersistematik yang menyediakan proses timbang, rekod dan pembayaran secara lebih teratur dan tersusun.
"Penyediaan infrastruktur tersebut membolehkan 74,625 pekebun kecil di negeri ini, termasuklah 30,228 pekebun kecil di bawah seliaan RISDA memasarkan hasil mereka dengan lebih cepat, selamat dan tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak tengah," katanya.
Beliau berkata sedemikian pada Majlis Perasmian Program Santuni Pekebun Kecil Risda Negeri Sabah 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi Risda, Manndzri Nasib.
Menurutnya, kewujudan rangkaian depoh diuruskan syarikat milikan RISDA, RISDA Plantation Sdn Bhd (RPSB) bukan sahaja dapat memastikan sasaran pengumpulan hasil dapat dicapai dengan lebih berkesan tetapi juga akan membantu ekosistem pemasaran tempatan hasil getah pekebun kecil.
Beliau menjelaskan, pengukuhan sistem pemasaran melalui kerjasama strategik bersama Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), dijangka memberikan pulangan langsung kepada pekebun kecil.
Ahmad Zahid memberitahu, ia meliputi peningkatan pendapatan lebih tinggi, rantaian jualan telus, pengurangan manipulasi harga, pemulihan keyakinan terhadap pasaran serta pengukuhan kedudukan Sabah sebagai negeri pengeluar getah yang signifikan.
Selain pemasaran berkelompok, tambahnya, RISDA turut memperluas akses perkhidmatan kepada pekebun kecil melalui Pusat Timbang dan Stor (PTS), Pemasaran Getah Bergerak (PGB) serta pelaksanaan Program Pengeluaran Getah Negara (PETARA) yang memberi tumpuan kepada pemulihan kebun terbiar dan peningkatan produktiviti.
"Saya melihat strategi pembeli utama getah ini mampu memastikan pendapatan pekebun kecil berada pada tahap optimum dan stabil.
"Ia seiring dengan agenda Aspirasi Desa Madani yang saya digerakkan dengan menekankan keperluan memastikan warga desa menerima manfaat terbaik daripada arus pembangunan negara," ujar Ahmad Zahid lagi.
Beliau turut menegaskan pembangunan pekebun kecil getah memerlukan ekosistem lengkap meliputi produktiviti, pemasaran, logistik dan pengurusan data, bukan sekadar bantuan semata-mata.
"Dengan komitmen semua pihak, pekebun kecil getah di Sabah mampu kekal sebagai penyumbang utama ekonomi desa dan penggerak penting industri getah negara menuju sasaran 1 juta metrik tan menjelang 2030," menurut beliau.
Ringkasan AI
- RISDA menetapkan sasaran 70,000 metrik tan hasil getah dari pekebun kecil di Sabah untuk diurus berkelompok
- RISDA bertujuan meningkatkan produksi getah negara ke 1 juta tan metrik menjelang 2030
- Pembinaan 10 unit depo pengumpulan hasil getah di Sabah dilakukan untuk memudahkan proses timbang, rekod dan pembayaran
- Infrastruktur depo menguntungkan 74,625 pekebun kecil di Sabah meningkatkan pemasaran hasil getah
- Kerjasama dengan Lembaga Industri Getah Sabah diharap meningkatkan pendapatan pekebun dan mengukuhan kedudukan Sabah sebagai pengeluar getah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

