Konvensyen Jiwa Quran jadi ruang mencari ketenangan berasaskan al-Quran

Anas (kiri) dan Aisyah (kanan) ketika perasmian Konvensyen Jiwa Quran di Dewan Seri Sintan pada Ahad.
Anas (kiri) dan Aisyah (kanan) ketika perasmian Konvensyen Jiwa Quran di Dewan Seri Sintan pada Ahad.
A
A
A

PUTRAJAYA - Konvensyen Jiwa Quran 2025 yang memasuki penganjuran kali ketiga terus menjadi platform penting buat masyarakat kembali mendekati al-Quran sebagai sumber ketenangan dan pemulihan jiwa, khususnya bagi golongan dewasa yang berdepan tekanan hidup.

Program anjuran Azdan Quranic Centre itu dilaksanakan secara hibrid antara fizikal dan secara dalam talian dengan penyertaan lebih 5,800 peserta termasuk dari luar negara, sekali gus menunjukkan peningkatan minat masyarakat terhadap pencarian solusi kerohanian berasaskan al-Quran.

Menurut pengasasnya, Anas Azami, konvensyen itu bertujuan membantu mereka yang hadir dengan pelbagai cabaran kehidupan termasuk masalah rezeki, konflik keluarga, hubungan dengan ibu bapa dan mertua serta mereka yang berada dalam fasa akhir penceraian dan mencari usaha terakhir untuk pulih.

"Semakin ramai masyarakat mula kembali mencari al-Quran setelah lama meninggalkannya, malah sebahagian besar peserta berada dalam fasa buta al-Quran sebelum hadir untuk mendapatkan jawapan kepada kekosongan yang dirasai dalam hidup.

"Jadi, apabila berlaku dalam hidup itu membuatkan dia tercari-cari jawapan dan cara hendak menyelesaikan dan kita cuba bantulah sedikit. Insya-ALLAH dengan al-Quran," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pada Konvensyen Jiwa Quran di Dewan Seri Siantan, di sini, pada Ahad.

Terdahulu, program turut diisi aktiviti menarik seperti gema haflah oleh Johan Tilawah al-Quran Antarabangsa 2024, Mohamad Husaini Mahmur, forum ayah ibu engkaulah permulaan kami serta Shortcut Mengaji Edisi Bijak Mahkraj.

Anas berkata, antara harapan utama program termasuklah memastikan golongan ibu bapa mampu menyempurnakan bahagian wajib al-Quran sebelum meninggal dunia tanpa tekanan untuk menjadi guru atau mencapai tahap lanjutan, sebaliknya memadai mampu membaca dengan betul dan yakin.

Sementara itu, Aisyah Baain berkata, setiap tahun konvensyen itu membawa tema khusus bagi mengangkat isu yang dekat dengan kehidupan masyarakat dan bagaimana al-Quran mampu menjadi motivasi langsung daripada ALLAH.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, program tahun lepas memberi fokus kepada tema kematian, manakala tahun ini mengetengahkan 'Kembalilah Jiwa yang Tenang' yang menekankan pemulihan dalaman dan pengembalian diri kepada ALLAH melalui ayat-ayat al-Quran.

Kongsinya, pihak mereka memperkenalkan kaedah pembelajaran dewasa berfokuskan tahsin, iaitu penambahbaikan bacaan dari peringkat asas supaya peserta benar-benar kukuh sebelum melangkah ke peringkat lebih tinggi.

Beliau memaklumkan, kaedah itu direka khas untuk golongan berusia 40 tahun ke atas sehingga 83 tahun yang mungkin berdepan kekangan hafalan dan kelemahan deria.

Tambah Aisyah, pengalamannya mengajar golongan dewasa sejak usia 12 tahun membolehkan pendekatan itu disusun dengan mudah, ringkas dan mesra peserta.

Konvensyen terbabit diadakan setahun sekali dan penganjur menyasarkan penyertaan lebih 10,000 peserta pada masa akan datang.

 

 

Ringkasan AI

  • Konvensyen Jiwa Quran 2025 menjadi platform mendekati al-Quran bagi golongan dewasa yang berdepan tekanan hidup
  • Diadakan secara hibrid dengan penyertaan lebih 5,800 peserta termasuk dari luar negara
  • Bertujuan membantu peserta menghadapi cabaran hidup dan mencari solusi kerohanian berasaskan al-Quran
  • Tema tahun ini adalah 'Kembalilah Jiwa yang Tenang' yang menekankan pemulihan dalaman
  • Disusun khusus untuk golongan berusia 40 hingga 83 tahun menggunakan kaedah pembelajaran tahsin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!