350 mat rempit masuk perangkap

Antara penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi berkenaan.
Antara penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi berkenaan.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Aktiviti lumba haram di sekitar persimpangan lampu isyarat Permatang Pauh menghala Ampang Jajar di sini berjaya dibanteras selepas diserbu sepasukan anggota polis dalam satu operasi yang diadakan pada Sabtu.

Operasi yang dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bersama JSPT Pulau Pinang bermula jam 11 malam itu menahan kira-kira 350 penunggang motosikal termasuk remaja bawah umur.

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan, Kawalan Lalu Lintas dan Pengurusan Saman JSPT Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, serbuan dijalankan selepas mendapati kawasan berkenaan menjadi tumpuan kumpulan mat rempit untuk berlumba terutamanya pada malam minggu.

Menurutnya, meskipun beberapa kali serbuan dan operasi pernah dibuat sebelum ini di lokasi sama namun mendapati mereka seolah-olah tidak serik dan mencabar undang-undang.

Mohd Rozi (dua dari kanan) memeriksa salah sebuah motosikal yang ditahan dalam operasi dijalankan pada malam Sabtu.
Mohd Rozi (dua dari kanan) memeriksa salah sebuah motosikal yang ditahan dalam operasi dijalankan pada malam Sabtu.

"Dalam pemeriksaan yang dilakukan kita dapati ada yang pernah dua atau tiga kali ditangkap sebelum ini tapi masih datang melakukan aktiviti sama.

"Jangan mencabar undang-undang dan jangan melihat nyawa seperti tidak bernilai kerana perbuatan mereka ini bukan sahaja merisikokan nyawa sendiri malah membahayakan pengguna jalan raya yang lain," katanya ketika ditemui di Balai Polis Seberang Jaya di sini pada Ahad.

Mohd Rozi berkata, dalam operasi berkenaan lebih 250 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk mereka yang tidak mempunyai lesen selain melakukan modifikasi motosikal yang tiada ciri-ciri keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, semua pihak perlu memainkan peranan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat supaya sama-sama memastikan aktiviti ini dapat dihentikan.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta tidak menjadikan kawasan itu sebagai litar lumba haram.

Ringkasan AI

  • Aktiviti lumba haram di sekitar persimpangan lampu isyarat Permatang Pauh berjaya dibanteras
  • Operasi bersama JSPT Bukit Aman dan JSPT Pulau Pinang, menahan kira-kira 350 penunggang motosikal
  • Serbuan ini dilakukan setelah kawasan tersebut menjadi tumpuan mat rempit, terutamanya pada malam minggu
  • Lebih 250 saman dikeluarkan untuk pelbagai kesalahan termasuk modifikasi motosikal yang tidak selamat
  • Orang ramai disarankan mematuhi peraturan jalan raya dan tidak menjadikan kawasan tersebut sebagai litar lumba haram

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!