Teater 'Kampung Boy' terima penghormatan istimewa, Sultan Perak berangkat tonton pementasan

IPOH - Teater Seniman Negara Datuk Lat-Kampung Boy menerima penghormatan istimewa dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyaksikan pementasan pada Sabtu.
Keberangkatan baginda ke Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak pada jam 8.30 malam itu diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris.
Pementasan berprestij anjurkan MOTAC melalui JKKN Perak dan Pertubuhan Seni Kayangan Perak (PESKAP) dengan kerjasama kerajaan negeri serta Yayasan Hasanah itu berlangsung selama tiga malam berturut-turut mulai 14 November.
Produksi ini merupakan penghormatan khas kepada Penerima Anugerah Seniman Negara ke-9, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Datuk Lat, kartunis legenda kelahiran Perak yang berjaya membawa budaya dan identiti Malaysia ke persada antarabangsa.

Skrip teater ditulis oleh Saad Omar manakala pementasan diarahkan oleh Ridhwan Saidi menampilkan adaptasi komik The Kampung Boy yang mengisahkan zaman kanak-kanak Datuk Lat sebagai seorang budak kampung dalam suasana nostalgia penuh nilai kekeluargaan.
Pementasan selama 1 jam dan 45 minit itu diserikan dengan penampilan barisan pelakon hebat termasuk Taiyuddin Bakar, Safura Ya’cob, Ilya Senario, Hadi Mikail, Faris Jamhari, Isma Hakimi, Aqeel Uwais, Yeop Nazri, Cikgu Farah, Sty Mat Desa dan beberapa pelakon muda lain.
Lat merupakan anak sulung dalam keluarganya dan gemar menghabiskan masa bermain di hutan, dusun serta kawasan lombong timah bersama rakan-rakannya.
Pada usia sembilan tahun, beliau telah membantu menambah pendapatan keluarga dengan memanfaatkan bakat semula jadinya dalam bidang seni lukis melalui penjualan komik hasil tangannya kepada rakan-rakan sekolah.
Sebagaimana kisah yang digambarkan dalam The Kampung Boy, pementasan teater ini diterjemahkan di atas pentas melalui gaya lakonan realisme yang menonjolkan keindahan serta keaslian kehidupan masyarakat kampung pada zaman tersebut.

Sementara itu, Mohd Amran berkata, pementasan karya tersebut merupakan satu kebanggaan besar kepada negeri Perak.
Menurutnya, karya teater berasaskan komik realisme itu bukan sekadar mengangkat tokoh seni tersohor, malah membawa nilai seni yang tinggi melalui penterjemahan visual yang dekat dengan jiwa masyarakat.
"Kami berharap karya ini menjadi medium penting untuk menyemai nilai budaya dalam kalangan penonton selaras aspirasi Malaysia Madani.
"JKKN berbesar hati menyediakan platform berskala besar ini bagi memperkukuh kegiatan teater dan membangunkan khalayak baharu," katanya.
Selain persembahan utama, program tiga hari itu turut menyediakan aktiviti sampingan seperti Klinik Seni Budaya, Klinik Teater Kanak-kanak, sesi santai Ate Moh Nyembang serta jualan makanan bagi memeriahkan suasana dan mendekatkan masyarakat dengan ekosistem seni budaya.
Tiket dijual pada harga RM25 bagi orang awam, manakala pelajar, OKU dan warga emas ditawarkan harga RM20. Maklumat lanjut boleh diakses melalui laman sesawang atau Facebook rasmi JKKN.
Ringkasan AI
- Teater Seniman Negara Datuk Lat-Kampung Boy disaksikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
- Pementasan merupakan penghormatan kepada Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Datuk Lat, kartunis legenda yang membawa budaya Malaysia ke persada antarabangsa
- Skrip ditulis oleh Saad Omar dengan arahan Ridhwan Saidi, mengadaptasi komik The Kampung Boy yang mengisahkan zaman kanak-kanak Datuk Lat
- Berlangsung selama 1 jam 45 minit dengan barisan pelakon hebat seperti Taiyuddin Bakar, Safura Ya'cob, dan Ilya Senario
- Pementasan menjadi kebanggaan besar untuk Perak, mengangkat nilai seni tinggi dan mengharapkan menjadi medium penyemaian nilai budaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

