Kejayaan pelajar didorong didikan guru, ibu bapa- Sultan Nazrin

KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Anugerah Kecemerlangan 2025 Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di Auditorium Tun Abdul Razak di sini pada Sabtu.
Pada majlis berkenaan, baginda berkenan menyampaikan Anugerah Khas, Anugerah Carey kepada Muhammad Qawiem Athif Yuzaidi, 17; Anugerah Hasanal Bolkiah kepada Amir Rayyan Muhammad Shaifuddin, 15; dan Anugerah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kepada Wan Amar Hussein Wan Mohd Halif, 15.
Baginda turut menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada 72 pelajar yang memperoleh pencapaian terbaik serta bekas pelajar yang mendapat keputusan cemerlang 9A+ dan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Seramai 25 pelajar program Diploma International Baccalaureate (IBDP) Kohort 13 turut menerima anugerah yang disampaikan oleh baginda.
Sultan Nazrin dalam titahnya menegaskan, kejayaan para pelajar bukan hasil daripada kehebatan diri secara perseorangan, tetapi didorong oleh didikan para guru yang membimbing dengan tekun, tabah dan sabar.
Tambah baginda, kejayaan itu juga lahir daripada sokongan dan doa ibu bapa yang tidak pernah putus serta kerjasama rakan-rakan yang saling membantu.
“Kejayaan para pelajar hari ini turut dipengaruhi oleh peranan pihak pengurusan serta para pemegang taruh yang menyediakan peluang dan ruang untuk pelajar berkembang.
“Sehubungan itu, para pelajar perlu sentiasa ingat bahawa kejayaan bukan semata-mata pencapaian peribadi tetapi lahir daripada ekosistem yang saling menyokong.
“Kejayaan yang diraikan hari ini merupakan bukti nyata kepada semangat kebersamaan dan solidariti yang utuh,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut bertitah, ujian lebih besar yang dihadapi manusia ialah apabila berada di puncak kejayaan. Manusia ketika berada di kaki gunung secara umumnya lebih mengenali sifat-sifat lemahnya, lalu merendah diri, memohon bantuan sesama manusia serta berdoa kepada Ilahi.
Baginda bertitah, sebaliknya sejarah menunjukkan manusia terlalu mudah berubah sifat apabila dilimpahi dengan kejayaan.
“Kegagalan manusia mengurus kejayaan secara arif dan bijak menjadi penyebab utama kepada kejatuhan mereka.
“Oleh itu, anugerah kejayaan yang diterima pada usia semuda ini jangan sama sekali menjadi permulaan membenihkan sifat angkuh, riak, sombong dan bongkak dalam diri.
“Setiap kali ALLAH mengurniakan kejayaan, banyakkan bersyahadah, memuji kesucian dan memuja kebesaran Ilahi, memohon agar diri dijauhi daripada sifat sombong dan angkuh; memohon agar diri semakin diperkaya dengan nilai insani, bersifat tawaduk, mengikuti resmi padi, semakin berisi semakin tunduk, mencerminkan kesedaran bahawa segala sesuatu kejayaan yang dicapai adalah anugerah daripada ALLAH SWT,” titah baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
