Lebih 9,500 peserta meriahkan Larian Keputeraan Sultan Nazrin

Sultan Nazrin berkenan melepaskan para peserta Larian Hari Keputeraan Sultan Perak di Dataran Pavilion pada Ahad. Foto Bernama
Sultan Nazrin berkenan melepaskan para peserta Larian Hari Keputeraan Sultan Perak di Dataran Pavilion pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - Cuaca mendung dan hujan renyai mewarnai Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah 2025 yang berlangsung di Dataran Pavilion di sini pada Ahad.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menyertai acara yang memasuki edisi ke-11 itu bersama lebih 9,500 peserta lain.

Baginda berdua bersama anakanda, Raja Nazira Safya menaiki kenderaan khas diiringi Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sultan Nazrin kemudian berkenan meluangkan masa kira-kira 20 minit bersama rakyat di Laman Budaya bagi menyaksikan demonstrasi dan pameran aset oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta reruai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Larian yang bermula pada jam 6.45 pagi itu diadakan sempena Hari Keputeraan Sultan Nazrin yang ke-69, yang disambut pada 7 November lalu.

Terdahulu, baginda berkenan melepaskan peserta bagi kategori 15 kilometer (km), 10km dan 7km, manakala kategori tetamu kehormat kalangan orang besar jajahan, exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan sejauh 3km dilepaskan oleh adinda baginda, Raja Datuk Seri Yong Sofia.

Pelbagai aktiviti dan persembahan turut disediakan sepanjang laluan larian di sekitar kampung dalam Mukim Sayong, Kota Lama Kanan dan Jambatan Sultan Abdul Jalil Shah.

Antaranya termasuk permainan tradisional gasing dan sepak raga, demonstrasi labu sayong, persembahan rebana, gendang Cina dan India, serta reruai kuih-muih dan gulai kawah.

Sebelum berangkat pulang, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan menghadiri jamuan santapan serta upacara penyampaian hadiah.

Artikel Berkaitan:

Pasangan diraja itu turut disajikan persembahan pancaragam pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), persembahan Kumpulan Jentari Sekolah Seni Malaysia Perak dan demonstrasi taktikal khas oleh Maritim Malaysia.

Tuanku Zara kemudian menyampaikan hadiah kepada tiga peserta yang merekodkan masa terbaik bagi setiap kategori dipertandingkan.

Pemenang pertama kategori 15km menerima wang tunai RM800 dan plak, tempat kedua RM700 dan plak, manakala tempat ketiga RM600 dan plak.

Bagi kategori 10km, pemenang tempat pertama membawa pulang RM600 dan plak, tempat kedua RM500 dan plak, manakala tempat ketiga RM400 dan plak.

 

 

Ringkasan AI

  • Cuaca mendung dan hujan renyai menyertai Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah 2025
  • Sultan Perak dan Raja Permaisuri Perak menyertai larian bersama lebih 9,500 peserta
  • Larian ini sempena Hari Keputeraan Sultan Nazrin yang ke-69
  • Pelbagai aktiviti dan persembahan disajikan sepanjang laluan larian
  • Pemenang pertama untuk kategori 15km menerima wang tunai RM800 dan plak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!