Universal Music Malaysia tarik balik video muzik Dolla, hormati sensitiviti masyarakat

UNIVERSAL Music Malaysia mengambil maklum kebimbangan orang ramai berhubung penampilan ahli kumpulan Dolla dalam video muzik terbaharu mereka yang didakwa tidak sesuai dan menimbulkan sensitiviti dalam kalangan penonton.
Sehubungan itu, syarikat berkenaan mengambil keputusan untuk menurunkan video muzik tersebut daripada semua platform digital sebagai langkah tanggungjawab dan usaha menjaga keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum serta agama.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, keputusan itu dibuat selepas penelitian semula terhadap keseluruhan kandungan produksi serta maklum balas masyarakat.
“Sebagai syarikat rakaman yang beroperasi dalam ekosistem majmuk seperti Malaysia, kami sentiasa menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan peminat. Kami mengambil serius setiap maklum balas dan bertanggungjawab terhadap sebarang kekhilafan yang berlaku.
“Kami percaya kreativiti serta ekspresi seni perlu seiring dengan kepekaan terhadap norma setempat. Oleh itu, keputusan untuk menurunkan video muzik ini dianggap wajar demi menjaga keharmonian dan rasa hormat semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.
Universal Music Malaysia turut menegaskan komitmen untuk memperketat proses semakan bagi setiap perancangan kreatif selepas ini melalui perbincangan dalaman dan konsultasi profesional bagi mengelakkan isu sama berulang pada masa akan datang.
Syarikat itu turut merakamkan penghargaan kepada peminat dan masyarakat yang memberikan maklum balas secara terbuka dan membina, serta berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik tanpa menjejaskan hubungan antara artis, peminat dan komuniti muzik tempatan secara keseluruhan.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan bahawa beliau sedang meneliti untuk mengenakan tindakan jenayah syariah terhadap selebriti beragama Islam yang berpakaian mencolok mata.
Beliau turut mengarahkan semakan semula garis panduan pemakaian selebriti Muslim bagi memastikan penampilan mereka lebih selaras dengan batas syariah serta sensitiviti masyarakat.
Ringkasan AI
- Universal Music Malaysia menarik balik video muzik Dolla daripada semua platform digital kerana kebimbangan sensitiviti penonton
- Keputusan itu dibuat untuk menjaga keharmonian dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama
- Kim Lim mengatakan tindakan ini diambil selepas meneliti semula kandungan produksi dan menerima maklum balas masyarakat
- Syarikat berkomitmen memperketat proses semakan untuk kreatif di masa depan untuk mengelak isu berulang
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang meneliti tindakan terhadap selebriti Muslim yang tidak mengikut batas syariah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

