Geng pecah rumah mewah libat warga China tumpas

SEREMBAN - Geng pecah rumah mewah di daerah ini yang melibatkan warga China akhirnya tumpas selepas tiga individu ditahan baru-baru ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kegiatan kumpulan itu yang aktif sejak Ogos lalu turut melakukan jenayah sama di sekitar Lembah Klang.
Menurutnya, suspek pertama lelaki warga China berusia 37 tahun telah ditahan pada jam 1.15 pagi, 8 November lalu ketika berada di dalam sebuah Perodua Bezza di kawasan City Park Seremban 2 di sini dalam keadaan mencurigakan.
"Tangkapan dibuat selepas pihak polis menerima laporan kes pecah rumah di Taman Sri Carcosa, Seremban 2 di sini pada 13 Ogos lalu melibatkan kerugian barangan kemas dan beberapa jam tangan berjenama dianggarkan RM35,000.
"Hasil pemeriksaan kereta yang dinaiki suspek, polis menjumpai beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan pecah rumah termasuk pemotong besi, pemutar skru, dua kuku kambing, pakaian, beg komputer riba, dan dua telefon bimbit," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban pada Jumaat.
Beliau berkata, susulan itu, polis telah menahan seorang lagi suspek wanita warga China pada jam 4 petang, Isnin lalu di sebuah kediaman di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.
Jelasnya, wanita berusia 64 tahun itu ditahan dengan seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun.
"Hasil serbuan dan pemeriksaan di kediaman itu membawa kepada rampasan 27 utas jam tangan pelbagai jenama dan sembilan barang kemas.
"Turut ditemui, tiga kad kad bank, lima beg berjenama, sebuah komputer riba, wang tunai RM18,000 dan mata wang asing," katanya.
Ujar Alzafny, atas kejayaan tangkapan kumpulan itu Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) Seremban berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah rumah di daerah Seremban dan tujuh kes di Selangor.
Tambahnya, suspek kini direman sehingga 15 November ini bagi membantu siasatan.
Terdahulu Alzafny menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Seremban antara Senior Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din dan Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahman.
Azahar yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Risikan/ Operasi) Melaka menggantikan Mohamad Hatta yang dinaikkan pangkat mengisi jawatan Ketua JSJ Selangor.
Ringkasan AI
- Geng pecah rumah mewah di Seremban yang melibatkan warga China tumpas dengan tiga individu ditahan
- Kegiatan kumpulan aktif sejak Ogos dan beroperasi juga di Lembah Klang
- Barangan rampasan termasuk jam tangan pelbagai jenama, barang kemas, wang tunai dan mata wang asing
- Polis menyelesaikan tujuh kes pecah rumah di Seremban dan tujuh kes di Selangor
- Suspek direman sehingga 15 November untuk siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

