X

Kindly register in order to view this article
!

Kedai perkhidmatan penting patuh peraturan baharu waktu perniagaan

Pasar di Pulau Pinang
A
A

GEORGETOWN - Kedai perkhidmatan penting di Pulau Pinang menunjukkan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan baharu waktu perniagaan di negeri itu yang berkuat kuasa pada Rabu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow Selasa mengumumkan semua perniagaan di negeri ini hanya boleh beroperasi antara 6 pagi hingga 8 malam mulai keesokan harinya sebagai langkah tambahan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

Tinjauan Bernama di sebuah pasar raya besar di Tanjung Tokong sekitar 7.30 malam Rabu mendapati sebahagian besar kedai di dalam fasiliti berkenaan telah menutup perniagaan lebih awal termasuk farmasi dan restoran makanan segera.

Menghampiri jam 8 malam, kakitangan keselamatan yang ditempatkan di luar pintu masuk telah menghalang pelanggan yang datang lewat daripada memasuki pasar raya besar berkenaan kerana ia hendak ditutup.

Sementara itu, kunjungan ke beberapa stesen minyak sekitar Georgetown mendapati kesemuanya ditutup pada 8 malam, sebahagian besarnya menghadang laluan masuk dan keluar, atau kakitangan premis dilihat memaklumkan pemandu kenderaan yang datang bahawa stesen berkenaan telah ditutup bagi mematuhi waktu operasi yang baharu.

Sementara itu, di Seberang Perai, banyak premis perniagaan ditutup seawal 8 malam, malah penghadang dan kon diletakkan di hadapan premis berkenaan bagi menghalang orang awam daripada memasukinya.

Pemeriksaan dijalankan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dari 8 malam hingga 10 malam mendapati hampir 99 peratus premis perniagaan mematuhi PKP.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Semua premis di Pulau Pinang dihadkan operasi bermula esok: KM

Menurut pegawai kesihatan alam sekitar MBPP, M.Bawani, hanya 15 daripada 3,260 premis perniagaan yang diperiksa di enam kawasan Parlimen (Tanjong, Jelutong, Bukit Bendera, Balik Pulau, Bayan Baru dan Bukit Gelugor) tidak mematuhi PKP.

“Kami keluarkan amaran kepada pemilik premis dan menunggu sehingga mereka tutup kedai. Kami akan kembali ke premis ini hari ini untuk lakukan pemeriksaan lagi.

“Sekiranya premis ini mengulangi kesalahan sama, kami akan buat laporan polis dan membatalkan lesen perniagaan yang dikeluarkan MBPP. Kebanyakan pemilik premis mendakwa mereka tidak tahu (mengenai peraturan baharu) dan menganggap mereka boleh terus beroperasi 24 jam,” kata Bawani.

- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus