Tujuh tahun terlantar selepas lahirkan anak sulung, isteri akhirnya ‘pergi'


BACHOK - "Abang halalkan makan minum, ampunkan dosa dan reda ayang pergi."
Demikian kata-kata terakhir yang dibisikkan Muhammad Saiful Sudin, 35, kepada isteri, Nor Fadillah Che Par, 34, yang menghembuskan nafas di sisinya setelah tujuh tahun terlantar sakit akibat lumpuh seluruh badan selepas melahirkan anak sulung mereka, Mohd Syahmi yang kini berusia tujuh tahun.
Menurutnya, isteri tercinta menghembuskan nafas terakhir jam 9 pagi pada Rabu di Hospital Bachok di sini akibat kerosakan buah pinggang tahap tiga, jangkitan kuman pada paru-paru, hati rosak serta jantung lemah selepas mengalami demam beberapa hari lalu.
Dia berkata, awalnya Nor Fadillah hanya demam biasa sehinggalah dia mengalami sesak nafas pada Selasa dan dibawa ke hospital jam 11 malam untuk mendapatkan rawatan kerana bimbang keadaannya yang sakit terlantar.
"Sebelum itu, doktor memaklumkan isteri perlu ditidurkan, namun kerana tidak ingin mengambil risiko oleh kerana dia telah lama terlantar sakit sebelum ini maka ia tidak diteruskan.
"Sehinggalah jam 2 pagi keadaan isteri stabil dan pada jam 8.30 pagi tadi selepas memberinya minum susu, dia hanya merenung wajah saya.
"Saya cakap.....ayang tidurlah. Namun, dia masih merenung saya sehinggalah tiba-tiba mesin berhenti secara mengejut. Saya sempat mengajar dia mengucap dan bisik padanya...abang halalkan makan minum, ampunkan dosa dan reda ayang pergi," katanya dengan nada sebak ketika dihubungi.
Muhammad Saiful memberitahu, keadaan isterinya seolah-olah sedang tidur dan dia berpuas hati dapat menjaga 'suri hatinya' yang terlantar sejak tahun 2018 itu sehingga akhirnya.
Ujarnya, semenjak Nor Fadillah terlantar dia sanggup berhenti kerja dan fokus menjaga insan tercinta serta anak tunggal mereka itu.
Dia hanya mengambil upah bekerja kampung yang tidak memaksanya keluar lama kerana bimbang keadaan isteri.
"Jenazah isteri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir pada jam 6 petang tadi," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian pada tahun 2020 lalu melaporkan seorang suami membuktikan cinta sejati apabila sanggup menjaga isterinya yang lumpuh di Kampung Kok Lintang di sini.
Nor Fadillah hanya mampu berinteraksi menggunakan isyarat mata selepas degupan jantungnya terhenti seketika semasa menjalani pembedahan untuk melahirkan anak sulung mereka pada 18 November 2018.
Situasi itu menyebabkan Nor Fadillah koma selama tujuh bulan tanpa sempat menatap wajah cahaya mata sulungnya sejurus dilahirkan menerusi pembedahan.
Ringkasan AI
- Muhammad Saiful Sudin, 35, memberikan kata-kata terakhir kepada isterinya, Nor Fadillah Che Par, 34, yang meninggal dunia setelah tujuh tahun terlantar sakit
- Nor Fadillah meninggal akibat kerosakan buah pinggang tahap tiga, jangkitan kuman pada paru-paru, hati rosak dan jantung lemah
- Keadaan kesihatan Nor Fadillah merosot akibat demam beberapa hari lalu yang akhirnya menyebabkannya mengalami sesak nafas
- Muhammad Saiful Sudin berhenti kerja untuk menjaga isteri dan anak tunggal mereka, selain berpuas hati dapat menjaga isterinya hingga akhir
- Jenazah Nor Fadillah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

