RM1.08 bilion royalti Terengganu, hanya RM583 juta masuk akaun negeri

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menerima RM1.08 bilion royalti petroleum daripada kerajaan Persekutuan setakat 2 November lalu bersamaan 66.44 peratus daripada anggaran keseluruhan RM1.63 bilion yang sepatutnya diterima pada tahun ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, daripada jumlah itu hanya RM583 juta (53 peratus) disalurkan terus ke akaun kerajaan negeri, manakala selebihnya RM497 juta (47 peratus) diuruskan pihak lain di peringkat Persekutuan.
"Untuk rekod, pada 2024 kerajaan negeri hanya menerima RM733.05 juta daripada keseluruhan royalti petroleum berjumlah RM1.5 bilion.
"Ini bermakna kerajaan negeri hanya mengurus 53 peratus hasil berkenaan manakala selebihnya tidak disalur terus ke akaun negeri," katanya ketika berucap pada sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman di sini pada Khamis.
Ahmad Samsuri berkata, keadaan itu menyebabkan negeri kehilangan autonomi terhadap hampir separuh hasil royalti petroleum sekali gus menjejaskan perancangan pembangunan negeri termasuk kebajikan rakyat.
"Situasi ini tidak berlaku ketika kita mengambil alih pentadbiran pada 2018 sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 pada November 2022.
"Di situlah bermulanya episod baharu dalam sejarah pemberian royalti Terengganu apabila kepentingan politik mengatasi kewajipan sepatutnya," ujar beliau.
Tambah Ahmad Samsuri, bagi tempoh 2023 hingga 2025, kerajaan negeri hanya dibenarkan mengurus kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan hasil royalti petroleum dan penyalurannya juga tidak lagi mengikut jadual dua kali setahun seperti perjanjian terdahulu.
Katanya, kerajaan negeri akan terus memperjuangkan supaya urusan pemberian royalti dikembalikan seperti sebelum tahun 2022 kerana ia merupakan hak yang termaktub dalam perjanjian antara Petronas dan kerajaan negeri.
"Apabila kita sering menyebut soal royalti, ada yang menuduh kita tiada kerja lain. Hakikatnya, ini hak kita dan kita akan terus konsisten memperjuangkannya.
"Jika Malaysia mahu mengurangkan jurang pembangunan antara negeri, setiap negeri perlu diberi ruang lebih luas untuk melaksanakan program masing-masing," jelasnya.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri memaklumkan prestasi ekonomi Terengganu kekal positif walaupun berdepan cabaran semasa.
"Sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), purata hasil negeri meningkat 11.9 peratus kepada RM264.88 juta setahun berbanding RM236.77 juta dalam RMK11.
"Ekonomi negeri turut berkembang pada kadar purata 4.1 peratus setahun manakala nilai pelaburan kumulatif meningkat kepada RM14.3 bilion, berbanding RM9.6 bilion sebelum ini," ujarnya.
Beliau berkata, pendapatan Kumpulan Terengganu Inc meningkat daripada RM900 juta pada 2018 kepada RM1.75 bilion pada 2024, selain Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2024 merekodkan skor tertinggi sebanyak 864, menjadikan Terengganu negeri paling bahagia di negara ini.
"Walaupun banyak kejayaan telah dicapai, kita akui masih ada ruang penambahbaikan dan kerajaan negeri akan terus memperkukuh prestasi demi kesejahteraan rakyat," katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan Terengganu menerima RM1.08 bilion royalti petroleum daripada kerajaan Persekutuan setakat 2 November lalu
- Hanya RM583 juta disalurkan terus ke akaun kerajaan negeri manakala selebihnya RM497 juta diuruskan pihak lain di peringkat Persekutuan
- Pada 2024, kerajaan negeri hanya menerima RM733.05 juta daripada keseluruhan royalti petroleum berjumlah RM1.5 bilion
- Keadaan ini menyebabkan negeri kehilangan autonomi terhadap hampir separuh hasil royalti petroleum
- Prestasi ekonomi Terengganu kekal positif dengan penaikan purata hasil negeri dan indeks kebahagiaan rakyat yang tinggi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
