Edra perkukuh komitmen pulih hutan bakau di Jimah

SEREMBAN - Edra Power Holdings Sdn Bhd menanam sebanyak 1,000 anak pokok bakau di bawah fasa kedua inisiatif pemulihan hutan bakau di Stesen Janakuasa Jimah, Port Dickson pada Rabu.
Pemangku Pengurus Stesen Janakuasa Jimah, Muhammad Mazli Ismail Jamail berkata, pada program itu tapak semaian bakau yang menempatkan spesies Sonneratia dan Avicennia turut diwujudkan, berfungsi sebagai benteng pertahanan utama pesisir pantai serta menggalakkan pembiakan spesies bakau lain.
Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 2,000 anak pokok bakau ditanam di kawasan pesisir stesen janakuasa berkenaan, menggambarkan komitmen berterusan Edra terhadap pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan lestari.
"Penanaman pokok bakau dan penyediaan tapak semaian itu mewujudkan asas ekosistem hijau yang mampan bagi memelihara biodiversiti, menyediakan habitat semula jadi serta memastikan bekalan anak pokok yang berterusan untuk masa hadapan.
"Dari semasa ke semasa, usaha itu akan membantu mengurangkan hakisan pesisir pantai dan memberi manfaat sosioekonomi kepada masyarakat setempat melalui ekopelancongan dan pemulihan sumber marin,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Muhammad Mazli berkata, pelalaksanaan inisiatif itu dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan serta disertai warga kerja Edra dan komuniti setempat termasuk Persatuan Nelayan Kawasan Port Dickson.
Usaha itu juga kesinambungan kepada program pemulihan hutan bakau Edra dan memperkukuh penyertaan masyarakat dalam pemeliharaan alam sekitar sejajar dengan matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat berkenaan.
Beliau berkata, di bawah fasa pertama inisiatif yang dilaksanakan tahun lepas, sebanyak 1,000 anak pokok bakau berjaya ditanam.
Projek itu juga sejajar dengan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok serta Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) dan Edra akan terus menerajui inisiatif alam sekitar dengan mengintegrasikan kelestarian dalam operasi serta budaya korporatnya. - Bernama
Ringkasan AI
- Edra Power Holdings Sdn Bhd menanam 1,000 anak pokok bakau di Stesen Janakuasa Jimah, Port Dickson
- Sebanyak 2,000 anak pokok bakau sudah ditanam di kawasan pesisir stesen tersebut sebagai komitmen kepada pemuliharaan alam sekitar
- Projek itu bertujuan mewujudkan ekosistem hijau yang mampan, memelihara biodiversiti dan menyediakan habitat semula jadi
- Inisiatif tersebut dijalankan dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, warga kerja Edra dan komuniti setempat
- Projek penanaman bakau berkenaan sejajar dengan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
