Pemandu Hilux memotong secara berbahaya dikenakan dua saman

Video memaparkan tindakan pemandu terbabit memotong kenderaan lain secara berbahaya di KM65, Jalan Pekan Brinchang tular di media sosial baru-baru ini.
Video memaparkan tindakan pemandu terbabit memotong kenderaan lain secara berbahaya di KM65, Jalan Pekan Brinchang tular di media sosial baru-baru ini.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS – Polis telah mengesan dan mengeluarkan saman ke atas seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda yang didapati memotong secara berbahaya di Kilometer (KM) 65, Jalan Pekan–Brinchang di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli berkata, pemandu lelaki warga tempatan itu ditahan bersama kenderaan jenis Toyota Hilux di Lembah Bertam, Ringlet, kira-kira jam 2 petang, Rabu lalu.

Menurut beliau, suspek dibawa ke Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands untuk membantu siasatan.

“Hasil siasatan mendapati pemandu berkenaan melakukan kesalahan di bawah Kaedah 6(1), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 166/59 kerana memotong secara berbahaya, dan Kaedah 34, Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor 170/59 iaitu kesalahan melibatkan pengubahsuaian struktur serta peralatan kenderaan.

“Lelaki tersebut telah dikenakan dua saman atas kesalahan yang dilakukan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau menjelaskan bahawa tindakan berbahaya pemandu terbabit telah berjaya dirakam sebelum videonya dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook dan tular sejak Isnin lalu.

“Dalam video tersebut, jelas kelihatan pemandu kenderaan itu memotong secara berbahaya sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Tindakan berbahaya itu turut menerima kecaman dan komen negatif daripada pengguna platform tersebut,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang semasa memandu serta tidak menularkan sebarang maklumat yang tidak sahih.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sebarang maklumat boleh disalurkan terus ke Bilik Gerakan (DCC) di talian 05-4915999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Ringkasan AI

  • Polis Cameron Highlands telah mengeluarkan saman kepada seorang pemandu kereta pacuan empat roda kerana memotong berbahaya
  • Pemandu tersebut adalah warga tempatan yang ditahan bersama kenderaannya jenis Toyota Hilux di Lembah Bertam, Ringlet
  • Suspek telah dibawa ke Balai Polis Trafik IPD Cameron Highlands untuk siasatan
  • Pemandu itu didapati bersalah melakukan kesalahan memotong secara berbahaya dan melibatkan pengubahsuaian struktur serta peralatan kenderaan
  • Tindakan pemandu tersebut telah dirakam dan video berkenaan tular di Facebook, menerima kecaman daripada pengguna platform tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!