Kerajaan dibenar rayu keputusan berhubung Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan membenarkan kerajaan merayu keputusan berhubung Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. Gambar hiasan
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan membenarkan kerajaan merayu keputusan berhubung Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan hari ini berjaya memperoleh kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa perkataan "menghina" serta "menjengkelkan" dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan, yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais, membuat keputusan itu selepas membenarkan dua daripada empat persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh kerajaan dibangkitkan dalam rayuan tersebut, serta satu soalan tambahan daripada panel itu sendiri.

Turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Datuk Nordin Hassan.

"Kami secara sebulat suara membenarkan Soalan 3 dan Soalan 4 dalam usul tersebut, kami juga akan mengemukakan satu lagi persoalan undang-undang iaitu apakah kesan Perkara 4(2) Perlembagaan Persekutuan dalam keadaan kes ini," kata Abu Bakar.

Dua soalan yang dibenarkan oleh mahkamah adalah berkaitan pendekatan interpretatif terhadap undang-undang serupa di United Kingdom dan Eropah bagi Seksyen 233 AKM serta Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Satu lagi soalan ialah sama ada matlamat Seksyen 233, termasuk perkataan "menghina" dan "menjengkelkan" adalah untuk menghalang penyalahgunaan rangkaian komunikasi elektronik awam dan melindungi piawaian asas masyarakat, serta sama ada ia selaras dengan kepentingan awam dan moral di bawah Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan substantif pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian oleh mahkamah. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kerajaan memperoleh kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan berkaitan Seksyen 233 AKM
  • Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan, diketuai oleh Datuk Abu Bakar Jais, membuat keputusan ini
  • Mahkamah membincangkan soalan berkaitan interpretasi undang-undang serupa di UK dan Eropah serta Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan
  • Soalan lain termasuk matlamat Seksyen 233 untuk menghalang penyalahgunaan rangkaian komunikasi dan melindungi piawaian masyarakat
  • Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan substantif pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!