[VIDEO] Terbantut hantar pesanan pelanggan, motosikal disita JPJ
MELAKA - Urusan seorang penghantar makanan untuk menghantar pesanan pelanggan terbantut selepas motosikal yang ditunggangnya disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Limbongan di sini pada malam Rabu.
Dalam operasi bersepadu sekitar jam 9.30 malam itu, motosikal Modenas Dinamik 120 ditunggang lelaki berusia 30-an tersebut dikesan gagal memperbaharui cukai jalan selama tiga tahun.

Lelaki itu memberi alasan motosikal berkenaan dibeli daripada kenalannya, namun individu tersebut kini tidak dapat dihubungi menyebabkan urusan pembaharuan cukai jalan tidak dapat dilakukan.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, dua motosikal disita selain sebanyak 745 buah kenderaan diperiksa dalam operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“72 kenderaan telah diambil tindakan serta 193 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan sitaan dua motosikal.
“Selain motosikal penghantar makanan, sebuah lagi motosikal ditunggang warga asing turut diambil tindakan sama atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu sah,” katanya pada Rabu.
Selain itu katanya, AADK telah menyaring seramai 23 individu namun tiada yang didapati positif dadah.
Siti Zarina berkata, dalam operasi sama turut dilaksanakan program penukaran topi keledar lama dan usang selain tidak mematuhi spesifikasi piawaian keselamatan ditetapkan.

“Topi keledar jenis ‘kura-kura’ masih digunakan disebabkan kurang kesedaran tentang kepentingan penggunaan helmet yang mematuhi piawaian.
“Ada yang memakainya kerana nampak cantik dan selesa tetapi ia tidak memenuhi ciri-ciri keselamatan dan perlindungan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa JPJ kini menawarkan pengurangan bayaran saman sebanyak 50 peratus bagi saman yang boleh dikompaun bermula 1 November hingga 30 Disember 2025.
Sehingga 11 November, sebanyak 1,392 transaksi saman telah dijelaskan dengan kutipan hasil sebanyak RM180,160 berjaya direkodkan.
Ringkasan AI
- Motosikal penghantar makanan disita oleh JPJ di Melaka kerana gagal memperbaharu cukai jalan selama tiga tahun
- Penghantar makanan tersebut beli motosikal dari kenalan yang kini tidak dapat dihubungi
- Dalam operasi bersama PDRM dan AADK, dua motosikal disita dan 745 kenderaan diperiksa
- AADK menyaring 23 individu namun tiada yang positif dadah
- JPJ menawarkan pengurangan bayaran saman sebanyak 50 peratus dari 1 November hingga 30 Disember 2025
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

