Op Luxury: Lamborghini Aventador, Porsche 911 disita JPJ

KUALA LUMPUR - Lamborghini Aventador, Porsche 911, Rolls-Royce dan Aston Martin antara kenderaan mewah yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di ibu negara atas pelbagai kesalahan menerusi Op Luxury sejak Julai lalu.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi ini dijalankan secara konsisten dengan pemeriksaan 241 kenderaan mewah.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 92 kenderaan mewah pelbagai jenis telah disita.

"Minggu ini sahaja, beberapa kenderaan mewah seperti Lamborghini Aventador dan Porsche 911 disita atas pelbagai kesalahan.
"Dalam tempoh ini, sebanyak 401 kesalahan dikesan membabitkan 177 kes bagi Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada insuran (160 kes), tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) (45 kes), nombor pendaftaran (10 kes) dan selebihnya lain-lain kes," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, Op Luxury dilaksanakan bagi memastikan pematuhan LKM, insurans, lesen memandu serta aspek teknikal melibatkan kenderaan mewah.
Jelasnya, pelaksanaan operasi pelbagai segmen ini menegaskan bahawa tiada ruang untuk kelonggaran, dan semua bentuk penguatkuasaan terus dijalankan tanpa mengurangkan tumpuan terhadap isu muatan berlebihan.
"JPJ Kuala Lumpur menegaskan komitmen penuh untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan.
"Kami (JPJ) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan peraturan sehingga membahayakan nyawa, merosakkan infrastruktur atau menjejaskan integriti sistem pengangkutan negara," ujarnya.
Tegas Hamidi, pihaknya menyeru orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang melalui saluran rasmi seperti aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my bersama butiran lengkap bagi membantu tindakan penguatkuasaan dijalankan dengan lebih berkesan.
Ringkasan AI
- Lamborghini Aventador, Porsche 911, Rolls-Royce dan Aston Martin disita oleh JPJ dalam Op Luxury sejak Julai
- Operasi menyasar 241 kenderaan mewah dengan 92 daripadanya disita
- 401 kesalahan dikesan termasuk LKM tamat tempoh, tiada insuran dan tiada CDL
- Op Luxury bertujuan memastikan pematuhan peraturan kenderaan mewah
- JPJ komited pada keselamatan jalan raya, tidak berkompromi terhadap pelanggaran peraturan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
