Caj hingga RM2,100 seludup PATI, sindiket ‘Pade Ajak’ kecundang

KUALA SELANGOR – Sindiket dikenali sebagai ‘Pade Ajak’ yang aktif menyeludup migran dengan menawarkan khidmat haram melalui media sosial tumpas menerusi serbuan di daerah ini pada Selasa.
Serbuan hasil risikan dan maklumat itu dilaksanakan sepasukan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Bahagian Pengubahan Wang Haram (AMLA) bersama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah premis yang beroperasi di sebalik kedai runcit dan makan yang dijadikan lokasi transit migran, lengkap dengan kemudahan tempat tinggal, bilik air serta dapur.
“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan sembilan warga Indonesia terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita berusia antara 20 hingga 45 tahun, selain dua transporter lelaki masing-masing warganegara Nepal dan Indonesia.
“Turut disita sebuah kenderaan jenis Toyota Innova yang digunakan bagi mengangkut migran ke lokasi seterusnya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, serbuan kedua di sebuah rumah teres dua tingkat berhampiran lokasi pertama berjaya menahan enam migran warga Indonesia terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 22 hingga 40 tahun.
Tambahnya, turut ditahan ialah dua penjaga rumah iaitu masing-masing seorang wanita Indonesia dan seorang lelaki Nepal.
Menurutnya, seorang lelaki Indonesia berusia 36 tahun yang disyaki sebagai dalang utama dan transporter sindiket turut diberkas.
“Siasatan awal mendapati semua migran berkenaan ditempatkan sementara di premis tersebut sebelum diseludup keluar melalui laluan laut tidak sah di sekitar perairan Kuala Selangor.
“Kebanyakan mereka mengaku mendapatkan khidmat sindiket melalui akaun media sosial,” ujarnya.
Zakaria mendedahkan, sindiket ‘Pade Ajak’ ini aktif sejak awal 2023 dengan rangkaian operasi melibatkan ejen di Malaysia dan dalang utama di Indonesia sehingga mengaut keuntungan mencecah RM504,000 hasil daripada aktiviti haram tersebut.
“Sindiket menggunakan media sosial untuk menawarkan perkhidmatan membawa masuk dan keluar migran melalui laluan tidak diwartakan, dengan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,100 bagi setiap individu,” jelasnya.
Tegasnya, JIM kini sedang mengesan pemilik premis warga tempatan untuk tindakan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670] kerana dipercayai bersekongkol dengan sindiket tersebut dengan menyewakan serta membenarkan premisnya dijadikan pusat pengumpulan migran secara haram.
“Kita menegaskan komitmen tegas dan berterusan dalam membanteras segala bentuk penyeludupan migran dan pemerdagangan orang.
“Tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan atau pemilik premis yang menggaji, melindungi atau bersekongkol dengan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.
Ringkasan AI
- Sindiket 'Pade Ajak' yang menyeludup migran tumpas menerusi serbuan di Kuala Selangor
- Serbuan melibatkan ATIPSOM, AMLA, dan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Imigresen Putrajaya
- Sembilan warga Indonesia dan dua transporter ditahan dalam serbuan pertama
- Serbuan kedua berjaya menahan enam migran warga Indonesia dan dua penjaga rumah
- Sindiket aktif sejak awal 2023, menggunakan media sosial untuk menawarkan khidmat haram dengan bayaran RM1,500 hingga RM2,100 bagi setiap migran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
