74 premis makanan Pulau Pinang tersenarai dalam Michelin Guide 2026

GEORGE TOWN - Pulau Pinang terus mengukuhkan gelarannya sebagai ‘Syurga Makanan’ apabila 74 premis makanan di negeri ini tersenarai dalam The Michelin Guide Kuala Lumpur & Penang 2026 termasuk tiga penerima pengiktirafan Bib Gourmand dan lima restoran baharu dalam kategori Michelin Selected.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, daripada keseluruhan 151 premis makanan yang disenaraikan dalam panduan berprestij itu, Pulau Pinang menyumbang hampir separuh dengan 74 restoran dan gerai makanan tersenarai.
Menurutnya, daripada jumlah itu, dua restoran mengekalkan Bintang Michelin, 39 diiktiraf sebagai Michelin Selected dan 33 menerima pengiktirafan Bib Gourmand.
“Kejayaan ini mengukuhkan lagi reputasi Pulau Pinang sebagai destinasi kulinari utama serta menggambarkan kekayaan dan kepelbagaian budaya makanan negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, daripada 16 penyertaan baharu yang diumumkan tahun ini, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur masing-masing mencatat lapan penyertaan baharu.
“Di Pulau Pinang, tiga premis menerima pengiktirafan Bib Gourmand manakala lima lagi disenaraikan sebagai Michelin Selected.
"Ini membuktikan kekuatan gastronomi Pulau Pinang terus menyerlah di pentas tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Beliau menambah, kategori Bib Gourmand yang melambangkan hidangan berkualiti tinggi pada harga berpatutan, menambah lima penyertaan baharu di seluruh negara, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 58 premis.
"Tiga restoran baharu di Pulau Pinang yang menerima pengiktirafan tersebut ialah Awesome Char Koay Teow, Bee Hwa Café dan Sifu Nyonya Cuisine.
"Selain itu, sebanyak 84 restoran di seluruh Malaysia menerima pengiktirafan Michelin Selected, termasuk 11 penyertaan baharu. Pulau Pinang menambah lima entri baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 39," ujarnya.
Beliau berkata, antara lima restoran baharu yang disenaraikan di Pulau Pinang ialah Blacklinen, pakar barbeku yang menggabungkan aroma salai dengan persembahan elegan dan Du-An (Lebuh Pantai) yang meraikan warisan Malaysia dengan citarasa tempatan yang diolah moden.
"Tiga lagi adalah Mémoire yang menawarkan menu inovatif berinspirasikan nostalgia kulinari, Peninsula House yang menggabungkan citarasa kontemporari Australia dengan bahan-bahan Asia dan Sood by Chef Ton, restoran Thai kontemporari dengan sentuhan mewah Bangkok," jelasnya.
Mengulas lanjut, Hon Wai berkata, sebanyak lapan restoran menerima Bintang Michelin dalam edisi tahun ini dengan semua penerima tahun lalu mengekalkan pengiktirafan masing-masing.
“Dua restoran juga dinaik taraf daripada Michelin Selected pada 2025 kepada Bintang Michelin tahun ini.
"Bagi Pulau Pinang, Au Jardin dan Auntie Gaik Lean’s Old School Eatery kekal sebagai restoran bertaraf Bintang Michelin sekali gus membuktikan komitmen mereka terhadap kualiti dan keunggulan kulinari," ujarnya.
Beliau berkata lagi, kejayaan itu menunjukkan keupayaan Pulau Pinang menggabungkan budaya kulinari tempatan dengan pengiktirafan antarabangsa.
"Proses pemilihan Michelin amat teliti dan kemasukan berulang negeri ini membuktikan dedikasi serta semangat kesempurnaan pengusaha kulinari tempatan.
"Pengiktirafan daripada Michelin turut memberi kesan positif terhadap industri pelancongan dan ekonomi negeri kerana ia menjadi rujukan penting bagi pelancong antarabangsa yang mencari pengalaman makanan berkualiti," katanya.
Tambah beliau, pengiktirafan itu meningkatkan lagi jenama ‘Penang Food’ dan berpotensi menarik lebih ramai pelancong serta penggemar makanan ke negeri ini.
"Penganugerahan Bintang Michelin, Bib Gourmand atau Michelin Selected merupakan penghormatan besar yang meningkatkan reputasi restoran serta membuka peluang menarik pelanggan berprofil tinggi.
“Bagi restoran yang belum tersenarai, Michelin Guide menjadi inspirasi penting untuk menambah baik kualiti bahan, teknik memasak, standard perkhidmatan dan nilai hidangan,” ujarnya.
Beliau turut berharap lebih banyak pengusaha makanan di Pulau Pinang akan terus berusaha mencapai kecemerlangan agar lebih banyak premis tersenarai dalam edisi akan datang.
“Dengan semangat dan usaha berterusan, saya yakin Pulau Pinang akan terus diiktiraf di pentas antarabangsa sebagai destinasi ‘Syurga Makanan’ yang tiada tandingan,” katanya.
Ringkasan AI
- Pulau Pinang memiliki 74 premis makanan tersenarai dalam The Michelin Guide Kuala Lumpur & Penang 2026
- Dari jumlah tersebut, dua restoran mengekalkan Bintang Michelin, 39 diiktiraf sebagai Michelin Selected dan 33 menerima Bib Gourmand
- Tiga premis menerima pengiktirafan Bib Gourmand adalah Awesome Char Koay Teow, Bee Hwa Café dan Sifu Nyonya Cuisine
- Lima restoran baharu di Pulau Pinang disenaraikan sebagai Michelin Selected mencakupi Blacklinen, Du-An, Mémoire, Peninsula House dan Sood by Chef Ton
- Kejayaan ini membuktikan komitmen Pulau Pinang terhadap kualiti dan keunggulan kulinari serta meningkatkan jenama 'Penang Food' di mata dunia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

