40 peratus hasil Sabah: Rundingan mesti telus, bebas manipulasi politik - Bung Moktar

KOTA KINABALU – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menegaskan bahawa rundingan berhubung pelaksanaan pemberian khas 40 peratus hasil Sabah mestilah dilaksanakan secara telus, berdasarkan data kewangan sebenar, dan bebas daripada sebarang manipulasi politik.
Beliau berkata, Sabah tidak lagi boleh menerima rundingan tanpa hasil yang hanya mengulangi kegagalan lalu kerana hak perlembagaan negeri itu bukan bahan tawar-menawar, sebaliknya kewajipan yang mesti dipenuhi sepenuhnya sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Rundingan yang akan berlangsung selepas ini mesti telus, berlandaskan data kewangan sebenar dan bebas daripada manipulasi politik.
Sabah tidak lagi akan menerima rundingan tanpa hasil. Hak perlembagaan bukan bahan tawar-menawar, ia mesti dipenuhi tepat seperti yang diperuntukkan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu turut menyambut baik keputusan kerajaan Persekutuan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan sebaliknya memulakan rundingan serta-merta dengan kerajaan negeri.
Katanya, keputusan itu mengesahkan prinsip undang-undang asas bahawa hak 40 peratus hasil Sabah bukan ihsan politik, tetapi tanggungjawab perlembagaan yang telah lama gagal dipenuhi sejak 1974.
“Keputusan ini mengesahkan satu prinsip undang-undang asas – hak 40 peratus hasil Sabah bukan ihsan politik. Ia adalah kewajipan perlembagaan yang telah lama gagal dipenuhi,” katanya.
Bung Moktar menjelaskan bahawa peruntukan 40 peratus hasil tersebut merupakan komitmen perlembagaan yang mengikat sejak pembentukan Malaysia pada 1963, dan sebarang kelemahan pentadbiran selepas itu mencemarkan prinsip federalisme antara Sabah dan Persekutuan.
“Dalam mana-mana bidang kuasa undang-undang moden, hak perlembagaan tidak boleh ditangguhkan, dikurangkan atau diabaikan tanpa alasan yang benar-benar kukuh dan berkadar.”
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa BN Sabah akan memantau setiap peringkat rundingan bagi memastikan komitmen kerajaan Persekutuan dilaksanakan tanpa kelewatan dan tanpa gimik politik.
“Tanggungjawab kerajaan Persekutuan adalah jelas dan tidak boleh dialihkan. Kembalikan hak Sabah tanpa sebarang kelewatan. Ini bukan gimik politik, ini tuntutan keadilan perlembagaan.
"BN Sabah berpendirian tegas, 40 peratus ialah hak Sabah,” tegasnya.
Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, keputusan tersebut bukan sahaja mencerminkan penghormatan terhadap hak Sabah di bawah Perlembagaan, tetapi juga membuktikan sokongan berterusan kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan negeri itu.
“Saya menyeru rakyat Sabah agar terus menaruh keyakinan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan yang berulang kali menunjukkan usaha tulen untuk membangunkan dan melindungi kepentingan Sabah.
“Salah satu contohnya ialah kejayaan kerajaan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam menolak tuntutan kumpulan Sulu terhadap Sabah, dan satu lagi ialah pemberian autonomi tambahan kepada kerajaan negeri Sabah dalam melaksanakan projek pembangunan bernilai RM50 juta dan ke bawah.”
Tambahnya, hubungan erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri amat penting untuk membina sebuah Persekutuan Malaysia yang bersatu, demi perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Ringkasan AI
- Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menekankan rundingan pemberian khas 40 peratus hasil Sabah harus jujur dan bebas manipulasi politik
- Sabah tidak akan menerima rundingan tanpa hasil kerana hak perlembagaan negeri itu adalah kewajipan yang tidak boleh diganggu gugat
- Kerajaan Persekutuan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, sebaliknya memulakan rundingan dengan kerajaan negeri
- Keputusan tidak memfailkan rayuan mengesahkan hak 40 peratus hasil Sabah adalah tanggungjawab perlembagaan dan bukan ihsan politik
- BN Sabah akan memantau setiap peringkat rundingan untuk memastikan kerajaan Persekutuan melaksanakan komitmen mereka tanpa kelewatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
