Cabaran memancing Terbuka Selangor tawar RM41,950

BANTING – Hadiah wang tunai berjumlah RM41,950 menanti pemenang pertandingan memancing Terbuka Selangor yang akan berlangsung di Pantai Kelanang di sini Ahad ini.
Pertandingan anjuran Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian Selangor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) itu dikendalikan oleh Wakjali Event Management.
Terbuka Selangor menawarkan hadiah wang tunai RM20,000 untuk juara, naib juara RM3,000 dan ketiga RM1,000, manakala pemenang keempat menerima RM400, kelima RM300 serta pemenang keenam hingga 100 pula akan membawa pulang RM150.
Jurucakap pertandingan, Amir Ali Mohamad berkata, idea penganjuran acara itu dicetuskan oleh Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Datuk Ir Izham Hashim.
“Acara ini akan bermula jam 1.30 tengah hari hingga 5.15 petang berdasarkan kepada carta pasang surut semasa.
“Yuran penyertaan hanya RM85 untuk satu joran. Sebagai daya penarik tambahan, penganjur menyediakan 10 cabutan bertuah RM100 setiap satu serta empat cabutan bonanza RM500 setiap satu,’’ katanya.

Terdahulu, mesyuarat penyelarasan acara telah diadakan di Shah Alam yang dipengerusikan oleh Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Zurkimin Ahmad.
Hadir sama, wakil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Asisten Superintenden Rahamat Yaakob; wakil Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat, Sharom Nizam Abdul Aziz dan Pengarah Promosi Wakjali Event, Rozaini Kamarudin.
Kaunter pendaftaran akan dibuka di lokasi pertandingan bermula jam 8 pagi Ahad ini, serta yuran penyertaan ialah RM85 untuk satu joran dan peserta layak menang lebih daripada satu hadiah yang ditawarkan.
Ringkasan AI
- Hadiah wang tunai berjumlah RM41,950 menanti pemenang pertandingan memancing Terbuka Selangor di Pantai Kelanang
- Pertandingan ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Pertanian dengan kerjasama MPKL dan dikendalikan oleh Wakjali Event Management
- Juara pertandingan akan menerima hadiah wang tunai RM20,000, sementara naib juara dan ketiga masing-masing RM3,000 dan RM1,000
- Yuran penyertaan pertandingan ialah RM85 untuk satu joran dengan 10 cabutan bertuah RM100 setiap satu dan empat cabutan bonanza RM500
- Acara akan berlangsung dari jam 1.30 tengah hari hingga 5.15 petang berdasarkan carta pasang surut semasa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
