GP Joran Terbuka Selangor tawar hadiah RM45,900

BANTING – Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS’25) bakal diserikan dengan pertandingan memancing GP Joran Terbuka Selangor di Pantai Kelanang, Ahad ini, yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM45,900.
Pertandingan yang turut mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 itu dianjurkan oleh Pertubuhan Penggerak Aktiviti Pantai Kelanang (Penggerak) dengan sokongan Tourism Selangor dan Ahli Majlis MPKL Zon 18, Mat Irwan Ismail.
Juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000; naib juara menerima RM3,000; tempat ketiga RM1,000; tempat keempat RM500; tempat kelima RM400; manakala peserta di tempat keenam hingga ke-100 masing-masing akan membawa pulang RM200.
Pengerusi Penggerak, Ahmad Roslan Kiran berkata, pertandingan itu julung kali dianjurkan oleh Penggerak bagi mempromosikan Pantai Kelanang.

“Pantai Kelanang mempunyai potensi besar untuk dimajukan sebagai lokasi acara memancing. Lokasinya yang terletak di tengah Semenanjung memudahkan pemancing dari utara, timur dan selatan untuk hadir menyertai pertandingan ini.
“Pantai juga mempunyai kemudahan lengkap termasuk kawasan parkir, tandas serta surau bagi kegunaan awam. Acara ini bakal memberi manfaat kepada peniaga di kawasan pantai ini serta industri hiliran lain yang berkaitan, termasuk homestay, hotel dan perniagaan makanan.
“Lebih menarik, pantai ini telah dinaik taraf sempena kunjungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor pada awal Julai lalu. Pantai yang cantik dan pemandangan yang menarik,” katanya pada Ahad.
Ahmad Roslan berkata, kaunter pendaftaran dibuka di lokasi pertandingan bermula jam 4 petang Sabtu hingga pagi Ahad, dengan yuran penyertaan sebanyak RM100 bagi setiap joran.
Beliau berkata, pertandingan itu bukan sahaja mempromosikan Selangor sebagai sebuah negeri sukan rekreasi, malah turut menyokong kempen Cuti-Cuti Malaysia yang digerakkan Tourism Malaysia, khususnya dalam mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Tambahnya, Pantai Kelanang terkenal dengan pelbagai spesies ikan termasuk pari, malong, belukang, semilang, ikan duri dan gelama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
