RISDA raikan 14 pemenang pertandingan mewarna, melukis

KUALA LUMPUR - Seramai 14 pemenang termasuk penerima saguhati Pertandingan Mewarna dan Melukis di Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 diraikan dalam Majlis Perhimpunan Bulanan RISDA bulan Ogos 2025 pada Khamis.
Pihak berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) selaku penaja menyampaikan hadiah wang tunai beserta sijil penyertaan kepada peserta kategori sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK) termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).
Pengerusinya, Manndzri Nasib berkata, penganjuran pertandingan sebegini bukan sekadar platform mencungkil bakat seni, malah ia menjadi jambatan buat generasi muda mendekati dan memahami peranan RISDA selaku peneraju komuniti pekebun kecil getah.
“Inilah semangat ‘RISDA Di Mana Mana’, usaha murni kita semua dalam menyebarluas maklumat, menyemai kesedaran dan menanam rasa cinta terhadap industri getah yang selama ini disumbangkan oleh pekebun kecil.
“Kita mahukan segenap generasi termasuklah golongan muda merasa bangga dengan sektor ini kerana di sinilah tersimpannya masa depan mereka. Bukan itu sahaja, masa depan desa dan negara tercinta juga,” katanya.
Sementara itu, Nur Raisha Nabila Faiz, 9, dari SK Putrajaya 14 (1) dinobatkan sebagai johan Pertandingan Mewarna Tahap Satu manakala naib johan, Ho Zi Yun, 8, dari SJKC Chee Wen dan tempat ketiga, Mohamad Zairy Ikhwan Mohamad Azhar, 8, dari SK Kampung Lindungan.
Bagi Pertandingan Mewarna Tahap Dua, johan ialah Lam Xiang Rou, 11, dari SJKC Tun Tan Siew Sin manakala naib johan, Alisha Safi ya Faiz, 11, dari SK Putrajaya 14 (1) dan tempat ketiga, Nur Keisya Amanda Ahmad Fuad, 10, dari SK Gombak Setia.
Pertandingan Melukis pula dimenangi oleh Isabelle Lee Rou Ning, 14, dari Dwi Emas International School, manakala naib johan, Nur Ain Shahidah Saffuan, 16, dari Sekolah Seni Malaysia Perak (SSeMP) dan tempat ketiga pula dirangkul oleh V R Sharvin Naidu, 17, dari SMK Seksyen 24 (2).
Pemenang bagi kedua-dua pertandingan membawa pulang wang tunai sebanyak RM500 manakala naib johan RM300 dan tempat ketiga RM200.
Majlis perhimpunan bulanan itu turut menyaksikan penyampaian peng hargaan kepada warga kerja RISDA yang meraih kejayaan di peringkat nasional, antaranya pengiktirafan The Malaysia Book of Record (MBOR) Penyediaan Onde-Onde RAMFEST Terbanyak iaitu 38,200 kuih itu.
Usaha tersebut melibatkan 700 peserta melalui kerjasama Puspanita Cawangan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama seluruh agensinya.
RISDA juga berjaya merangkul empat anugerah Gold Medal menerusi pertandingan The International Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEX) 2025 anjuran Polimas Jitra dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi kategori teknikal serta pengurusan organisasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
