UPTM perkukuh jalinan antarabangsa dengan tiga universiti di Mexico

SHAH ALAM – Sempena 50 tahun hubungan diplomasi Malaysia dan Mexico tahun ini, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) telah mengadakan jalinan kerjasama di tiga universiti utama di Mexico.
Dalam satu kenyataan media hari ini menjelaskan, lawatan rasmi ke Mexico ini telah diketuai oleh Naib Canselor, Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah Sy Sheikh dengan lima delegasi UPTM dan UKM.
Lawatan ini diadakan seiring dengan penganjuran The International Seminar 2025: “Transforming Society – Balancing Sustainability and Growth for Development” yang dianjurkan oleh Universidad de Ixtlahuaca CUI (CUI Ixtlahuaca) dengan kerjasama Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).
Dalam rangka lawatan ini, UPTM turut mengadakan pertemuan rasmi dengan tiga universiti terkemuka Mexico, iaitu Universidad Nacional Autónoma de México (UNAM), El Colegio de México (COLMEX) dan Universidad de Ixtlahuaca (CUI) bagi meneroka kerjasama akademik dan penyelidikan dua hala.

UNAM merupakan universiti terbesar dan tertua (diasaskan pada tahun 1951 dan dibuka semula pada tahun 1910) di Mexico yang mempunyai 370 ribu pelajar dan 60 ribu kakitangan yang juga merupakan UNESCO World Heritage site.
Ketiga-tiga institusi telah bersetuju untuk mengadakan kerjasama terutamanya dalam program akademik, mobiliti pelajar, seminar webinar, dan penyelidikan.
“Lawatan ini memperkukuh komitmen UPTM dalam membina jaringan akademik di peringkat global dan kali ini di benua Latin Amerika sempena meraikan 50 tahun hubungan diplomasi antara Malaysia dan Mexico” ujar Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah.

Lawatan rasmi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik UPTM , yang menekankan pembangunan jaringan antarabangsa, penyelidikan berimpak tinggi dan peningkatan reputasi universiti di peringkat global.
Dengan inisiatif ini, UPTM terus memantapkan kedudukannya sebagai universiti swasta Malaysia yang berdaya saing dan berpengaruh di arena antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
