Terengganu sedia 851 PPS hadapi Monsun Timur Laut

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 851 pusat pemindahan sementara (PPS) telah disiapkan sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu, Datuk Hanafiah Mat berkata, PPS berkenaan dijangka mampu menampung sekitar 214,392 mangsa banjir.
Beliau yang juga Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana) negeri berkata, semua PPS sudah dilengkapi dengan keperluan dan akan diaktifkan sebaik mangsa banjir dipindahkan.
"Di Kuala Terengganu kita ada 30 buah PPS, Kuala Nerus (39), Marang (61), Dungun (107), Kemaman (99), Hulu Terengganu (162), Setiu (104) dan Besut (249).
"Jumlah keseluruhan peruntukan disediakan sebanyak RM4.1 juta iaitu RM2.8 juta dari kerajaan pusat dan RM1.3 juta oleh kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Selain itu, Hanafiah berkata, sebagai persediaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu juga sudah melaksanakan kerja pembersihan serta penyelenggaraan sistem saliran sepanjang kira-kira 1,200 kilometer di seluruh negeri.
Menurut beliau, ia termasuk pembersihan sungai dan tali air bagi melancarkan aliran sekiranya berlaku hujan lebat, pembuangan kelodak, sampah dan tumbuhan liar.
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Mohd Zul Khairi Shamsuddin ketika dihubungi Bernama berkata, sebanyak 800 termasuk pegawai dan anggota sedia dikerah untuk kerja memindah dan menyelamat mangsa banjir.
"Kita juga sudah siap siaga dengan pelbagai aset termasuk 63 bot pelbagai jenis, 13 lori dan 300 helai jaket keselamatan.
"Semua aset berada dalam keadaan baik dan selesai diselenggara Oktober lepas," katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Sebanyak 851 pusat pemindahan sementara telah disiapkan di Terengganu untuk musim Monsun Timur Laut
- PPS tersebut dijangka mampu menampung sekitar 214,392 mangsa banjir
- Semua PPS sudah dilengkapi dengan keperluan dan siap diaktifkan untuk mangsa banjir
- Peruntukan keseluruhan bagi persiapan ini adalah RM4.1 juta, daripada kerajaan pusat dan negeri
- Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu juga telah melaksanakan kerja pembersihan sistem saliran sepanjang 1,200 kilometer
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
