Terengganu sedia kerjasama bangunkan industri REE secara mampan

Mohd Nurkhuzaini menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan DUN Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman pada Rabu.
Mohd Nurkhuzaini menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan DUN Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu bersedia bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi membangunkan rantaian nilai industri unsur nadir bumi (REE) meliputi aspek penerokaan, pemprosesan serta penghasilan produk berasaskan sumber berkenaan.

Exco Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, Terengganu bersama negeri di bawah kerangka SG4 telah melaksanakan kajian terperinci serta membangunkan pelan strategik pengurusan dan pembangunan REE bagi memastikan sumber itu diurus secara mampan dan terkawal.

Menurutnya, pelan strategik berkenaan menekankan pembangunan industri REE tempatan yang berdaya saing serta meliputi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran bagi menjana pertumbuhan ekonomi baharu di negeri ini.

"Objektif ESG menjadi panduan agar mineral negeri tidak disalah guna hingga menjejaskan rakyat, kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan syariat, malah menyalahi prinsip sosial dan tadbir urus baik.

"Fokus turut diberikan kepada pematuhan prinsip Environmental, Social and Governance (ESG) supaya pengurusan REE berjalan secara bertanggungjawab dan lestari," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15, di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

Jelas beliau, urusan berkaitan peraturan perdagangan antarabangsa berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan termasuk penentuan syarat dan perjanjian dengan pihak luar tanpa keperluan untuk dirujuk kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata, data sumber REE diselia dan dikemas kini oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) secara berterusan kerana proses pemetaan sumber mineral memerlukan peruntukan besar.

"Kerajaan negeri berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas peruntukan RM10.5 juta bagi pelaksanaan Kajian Potensi Sumber REE Fasa 2 melalui Belanjawan 2026, bagi meneruskan aktiviti pemetaan sumber serta meningkatkan inventori data mineral negara,"ujarnya.

Sementara itu, Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hanafiah Mat berkata, kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini sedang melaksanakan Projek Pengawalan Hakisan Pantai Kuala Nerus, yang memberi tumpuan kepada kawasan Pantai Batu Rakit.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, skop projek berkenaan melibatkan pembinaan 16 unit pemecah ombak serta kerja penyuburan pantai sepanjang dua kilometer, dan dijangka siap pada 14 Januari 2027.

"Penyelesaian menyeluruh terhadap isu hakisan di Pantai Batu Rakit memerlukan pendekatan bersepadu yang melibatkan pemuliharaan 'cell to cell' di sepanjang pesisir hingga ke muara sungai.

"Setakat ini, kemajuan projek mencapai 49.46 peratus dan berjalan mengikut jadual. Reka bentuk projek juga dilaksana berdasarkan kajian teknikal terperinci melibatkan corak ombak, arus pesisir serta taburan pemendapan pasir," katanya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Terengganu bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk mengembangkan industri unsur nadir bumi melalui penerokaan, pemprosesan dan penghasilan produk
  • Terengganu melaksanakan kajian terperinci dan pembangunan pelan strategik bagi pengurusan dan pembangunan mampan unsur nadir bumi
  • Pelan strategik menekankan pembangunan industri tempatan REE yang berdaya saing di peringkat huluan, pertengahan dan hiliran
  • Pematuhan kepada prinsip Environmental, Social and Governance (ESG) ditekankan untuk pengurusan REE yang bertanggungjawab dan lestari
  • Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan RM10.5 juta untuk Kajian Potensi Sumber REE Fasa 2 bagi memperkukuh pemetaan sumber dan inventori data mineral

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!