Pengosongan rumah penduduk di Kampung Papan kecoh

KLANG – Situasi tegang berlaku ketika kerja-kerja pengosongan dijalankan melibatkan beberapa rumah penduduk di Kampung Papan, Pandamaran di sini pada Rabu.
Sekumpulan anggota polis bersama Pasukan Light Strike Force (LSF) ditempatkan di lokasi sejak awal pagi, bagi menjamin keselamatan dan menghalang penduduk daripada melakukan perkara yang tidak diingini.
Suasana yang tenang pada kira-kira jam 9 pagi bertukar kecoh apabila sebahagian individu yang mendakwa sebagai penduduk cuba bertindak agresif.
Selain itu, terdapat beberapa penduduk gagal mengawal emosi dan cuba merempuh anggota polis yang bertugas.

Beberapa individu turut dilihat melakukan provokasi terhadap petugas keselamatan ketika kerja-kerja pengosongan dijalankan.
Insiden tolak-menolak turut berlaku melibatkan individu terbabit dengan anggota polis yang bertugas.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa turut hadir bagi meninjau keadaan di lokasi kejadian.
Media sebelum ini melaporkan bahawa 20 rumah di Kampung Papan, Pandamaran telah mula menjalani kerja-kerja pengosongan sejak Isnin bagi memberi laluan kepada projek pembangunan yang bakal dilaksanakan oleh pemaju.
Penduduk sebelum ini mendakwa bahawa arahan dikeluarkan hanya membenarkan rumah kosong dirobohkan, namun pihak terbabit bertindak melangkaui arahan tersebut dengan turut merobohkan rumah yang masih berpenghuni.
Ringkasan AI
- Situasi tegang berlaku di Kampung Papan, Pandamaran semasa pengosongan rumah
- Polis dan Pasukan Light Strike Force dikerahkan untuk menjaga keamanan
- Sebahagian individu bertindak agresif terhadap anggota polis
- Provokasi terjadi semasa proses pengosongan
- 20 rumah dirobohkan untuk projek pembangunan walaupun ada dakwaan arahan hanya untuk rumah kosong
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

