X

Kindly register in order to view this article
!

Petugas hadapan lawan rasa takut dijangkiti Covid-19

Petugas barisan hadapan lengkap berpakaian PPE terpaksa melawan rasa takut dijangkiti Covid-19 demi untuk menyelamatkan lebih ramai nyawa rakyat Malaysia yang positif virus berkenaan.
A
A

SHAH ALAM - Petugas barisan hadapan terpaksa melawan rasa takut dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19) demi untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa rakyat di negara ini.

Pengerusi Persatuan Sukarelawan Paramedik Selangor, Mohd Sukri Yaacob berkata, walaupun sudah biasa berdepan dengan pelbagai penyakit berjangkit, sebagai manusia biasa perasaan takut terhadap Covid-19 tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

“Ketakutan kami kepada risiko untuk dijangkiti Covid-19 hanya ALLAH SWT yang tahu. Bayangkanlah bukan berpuluh tetapi beratus kontak kami sudah saring setakat ini, jadi rasa takut tetap tak dapat dielak.

“Ketika melakukan saringan, kami terpaksa memakai PPE (peralatan pelindungan diri) dan semasa pakai PPE tak payah cakaplah, bukan satu jam tetapi dalam tempoh 10 minit pun kami sudah basah satu badan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Mohd Sukri, 45, yang juga Penolong Pegawai Perubatan U42 di Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, demi amanah dan tugas yang digalas, semua rasa takut itu diketepikan selain berusaha sedaya-upaya supaya proses saringan dan rawatan dapat dilakukan dengan lancar.

Menurutnya, mereka perlu memakai sebanyak tiga lapis PPE untuk melindungi diri yang terdiri daripada baju plastik, gaun, sarung tangan dan alas kasut walaupun terpaksa berpanas di bawah khemah.

"PPE bukan dipakai dalam tempoh yang singkat tetapi perlu dipakai berterusan sehingga semua pesakit yang datang selesai disaring.

“Betapa dahaganya kami tapi bukan kami boleh minum teh ais. Tak usah kata nak minum, nak pegang topeng muka pun tidak digalakkan, apatah lagi nak buka,” katanya.

Mohd Sukri turut meluahkan kekesalan kerana masih ramai yang memandang remeh penularan Covid-19, malah ada yang tidak jujur menjawab soalan ketika proses saringan dilakukan mengundang risiko jangkitan kepada petugas barisan hadapan.

“Sepanjang 20 tahun berkhidmat di bawah KKM, belum pernah saya rasa keadaan seteruk ini. Kami terpaksa kawal pesakit hampir 1,000 orang sehari.

"Di kaunter saringan, kami terpaksa buat giliran kakitangan bertugas. Kena bertanya soalan dan menahan pesakit supaya tidak masuk ke dalam bangunan yang berisiko," katanya.

Katanya, lebih malang apabila ramai yang memandang remeh perkara itu, malah bersikap tidak jujur.

"Apabila ditanya, pesakit kata tidak alami demam dan tidak pergi ke mana-mana tetapi sampai di dalam (berjumpa doktor) berbeza ceritanya.

“Saya sedih dengan sikap seperti ini. Tolonglah beri kerjasama agar kita dapat sama-sama bendung penularan wabak Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Mohd Sukri bersyukur kerana banyak pihak menyalurkan bantuan kepada petugas barisan hadapan termasuk CovidSinar.

“Memang kami memerlukan bantuan kelengkapan seperti PPE, sarung tangan, topeng muka dan cecair basmi kuman, selain sumbangan makanan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus