X

Kindly register in order to view this article
!

'Dulu makan dua kali sehari, sekarang sekali sehari'

Aminah bersama cucunya berehat di tangga rumahnya sementara menunggu perkembangan semasa Covid-19.
A
A

TUMPAT - Bergilir makan lempeng, nasi berlaukkan budu dan telur, itu sudah memadai bagi 13 sekeluarga di sini kerana perlu berjimat cermat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Mencatu makanan dengan makan sikit-sikit setiap hari sudah menjadi perkara biasa bagi sebuah keluarga yang tinggal di Pasir Pekan itu tetapi keadaan lebih merumitkan buat masa ini kerana punca pendapatan sudah terjejas.

Aminah Harun, 52, berkata, sebelum ini selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, suaminya, Mohamad Zain Deris, 78, menjual pokok sina di halaman rumahnya untuk menampung perbelanjaan keluarga.

“Kami memahami arahan diberikan kerajaan, sebab itulah kami berjimat. Kalau sebelum ini makan dua kali, tapi sejak tidak dapat bekerja ini kami makan sekali sehari sahaja.

“Kadang-kadang saya masak lempeng untuk cucu-cucu. Ada juga jiran yang sedekahkan lauk dan adik-beradik hulurkan bantuan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya.

Nenek kepada empat cucu itu memberitahu, pembeli sekarang tidak berani untuk datang mendapatkan anak-anak pokok yang sudah ditempah kerana masing-masing bimbang dengan risiko jangkitan Covid-19.

Katanya, buat sementara waktu ini dia juga bersyukur kerana sejak kelmarin penghulu kampung sudah menghantar bekalan beras dan makanan yang mana boleh digunakan sepanjang lanjutan tempoh PKP.

Sementara itu, seorang lagi ibu tunggal, Siti Zaimah Rashid, 49, yang sebelum ini menjual nasi juga menghadapi masalah kewangan selepas punca pendapatannya terjejas dan kini mengharapkan simpati ramai.

Ibu kepada dua anak ini juga memberitahu, nasi berlaukkan budu dan kadang-kadang ikan rebus menjadi makanan harian mereka sekeluarga sejak dua tiga hari ini.

“Sebelum ini pun, makanan kami tidaklah mewah tetapi ada juga makanan. Buat masa ini kami terpaksa hadkan makan dan berjimat-cermat sebab kita tidak tahu bila wabak ini akan berakhir.

“Sekarang makcik tidak dapat menjual nasi. Jadi tiada duit macam biasa. Beli ikan pun terpaksa berhutang, nasib baik masih ada yang baik hati dan memahami keadaan mak cik yang tidak begitu sihat. Ayam pun ada orang sekitar sedekahkan,” katanya.

Siti Zaimah dengan wajah yang sedih membuka saji di meja makan. Baki budu yang digunakan malam tadi masih tersimpan untuk dimakan lagi.
Siti Zaimah dengan wajah yang sedih membuka saji di meja makan. Baki budu yang digunakan malam tadi masih tersimpan untuk dimakan lagi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!