Tengku Permaisuri Selangor berkenan lancar buku penyakit kanser

SERDANG - Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melancarkan tiga buku baharu keluaran Persatuan Kanser KanWork (KanWork) dalam usaha menyokong individu dan keluarga yang terkesan dengan penyakit kanser di majlis KanWork Charity Hi-Tea 2025.
Tiga naskhah tersebut berjudul Naratif Sihat Bersama KanWork (Berjalan), Naratif Sihat Bersama KanWork (Berkebun) dan Buku Kemoterapi: Penjagaan Selepas Rawatan.
Tengku Permaisuri yang juga Penaung Diraja KanWork turut berkenan menerima replika cek sumbangan dana persatuan sebanyak RM20,000, masing-masing daripada Pointray Malaysia Sdn Bhd dan Sunway Medical Centre.

Pengerusi KanWork, Dr Mazanah Muhamad berkata, pihaknya menyifatkan KanWork Charity Hi-Tea kali ini amat bermakna kerana ia diadakan sempena meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-20.
“Majlis ini bertujuan mengumpul dana bagi membiayai aktiviti yang dapat membantu pesakit, survivor dan individu terkesan dengan kanser antaranya program ‘Berjalan 20,000 Langkah dalam Tiga Bulan’.
“Kanser merupakan satu penyakit kronik yang semakin meningkat dan ramai antara ahli persatuan terlibat kanser sama ada pesakit, survivor atau penjaga.
“Kami mengeluarkan tiga buku ini yang boleh didapati di beberapa hospital sekitar Lembah Klang menerusi inisiatif KanWork Di Sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pembukaan majlis yang bertempat di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini pada Ahad.
Hadir sama, Naib Canselor UPM merangkap Penasihat KanWork, Profesor Datuk Ir Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Pengasas KanWork, Profesor Emiritus Datuk Dr Ir Muhammad Zohadie Bardaie dan Presiden Persatuan Alumni UPM, Norashedy Ab Rashid.
Pengarah Eksekutif Pointray Malaysia Sdn Bhd yang juga pelakon terkenal, Ummi Nazeera serta Pengurus Besar Perkhidmatan Wanita dan Kanak-Kanak Sunway Medical Centre, Dr Ng Lee Li turut hadir selaku penyumbang dana.
Dalam pada itu Mazanah berpandangan, pelbagai cabaran dihadapi sejak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu ditubuhkan, namun visi dan misi KanWork tetap sama iaitu membantu individu yang terkesan dengan kanser.
“Penganjuran majlis sebegini juga secara tidak langsung dapat mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli, sukarelawan, rakan kerjasama KanWork dengan matlamat sama iaitu memerangi kanser,” ujarnya lagi.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Sijil Pemenang Berjalan 20,000 Langkah kategori bukan survivor atau penjaga pesakit kepada Dr Hasidah Mohd Sidek.
Kategori survivor pula dimenangi oleh Rozila Abdul Samat, seorang bekas pesakit kanser payudara selama hampir 20 tahun.
Ringkasan AI
- Tengku Permaisuri Selangor melancarkan tiga buku baru keluaran Persatuan Kanser KanWork
- Tiga naskhah tersebut adalah untuk menyokong individu dan keluarga terkesan dengan kanser
- Kanser adalah penyakit kronik yang semakin meningkat di kalangan masyarakat
- KanWork Charity Hi-Tea bertujuan mengumpul dana untuk membantu pesakit dan survivor kanser
- Majlis tersebut juga merayakan ulang tahun ke-20 penubuhan KanWork
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

