Agong berangkat pulang ke tanah air, akhiri lawatan negara di Bahrain

MANAMA (BAHRAIN) - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berangkat pulang ke tanah air pada Ahad, selepas mengakhiri lawatan negara tiga hari di Bahrain.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berlepas dari Lounge Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain, Muharraq di sini pada 8 malam (1 pagi waktu Malaysia).
Mengiringi Sultan Ibrahim dalam lawatan itu, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj selain Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Berangkat ke lapangan terbang untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka Baginda ialah Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain Putera Salman bin Hamad Al Khalifa.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, Duta Besar Malaysia ke Bahrain, Datuk Shazryll Zahiran dan Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rozainor Ramli.
Lawatan negara ke Bahrain yang bermula pada Khamis, ialah lawatan keenam dilaksanakan Sultan Ibrahim selepas Singapura, China, Brunei, Rusia dan Arab Saudi.
Lawatan itu juga menandakan satu peristiwa penting dalam sejarah hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara pulau di Teluk Parsi itu, yang merupakan lawatan pertama seumpamanya sejak 1974.
Semasa lawatan tiga hari itu, Sultan Ibrahim diberi sambutan negara di Istana Sakhir.
Yang di-Pertuan Agong juga berkenan melawat Tugu Peringatan Syuhada’, sebuah lokasi penting dalam sejarah Bahrain serta Kementerian Dalam Negeri Bahrain (Kubu Polis), dengan kedua-dua program itu telah diatur khas oleh Raja Hamad untuk seorang ketua negara buat kali pertama.
Pada Jumaat malam, Raja Hamad turut meraikan Seri Paduka Baginda pada Majlis Santapan Negeri di Istana Sakhir.
Bahrain kekal antara rakan dagang utama Malaysia di rantau Asia Barat dan merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-11 terbesar dan sumber import kelapan terbesar dalam kalangan negara Asia Barat. - Bernama
Ringkasan AI
- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat pulang ke Malaysia selepas lawatan negara tiga hari di Bahrain
- Lawatan tersebut adalah yang keenam dilaksanakan oleh Sultan Ibrahim selepas Singapura, China, Brunei, Rusia dan Arab Saudi
- Ini adalah lawatan pertama seumpamanya ke Bahrain sejak 1974, menandakan peristiwa penting dalam hubungan diplomatik antara Malaysia dan Bahrain
- Selama di Bahrain, Sultan Ibrahim diberi sambutan negara di Istana Sakhir dan melawat Tugu Peringatan Syuhada serta Kementerian Dalam Negeri Bahrain
- Bahrain merupakan rakan dagang utama dan kesembilan terbesar Malaysia di Asia Barat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
