Malaysia dilantik Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO 2025-2029

SHAH ALAM - Malaysia melakar sejarah di persada antarabangsa apabila dipilih sebagai Ahli Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi penggal 2025 hingga 2029.
Keputusan pemilihan itu diumumkan pada Persidangan Agung UNESCO Ke-43 di Samarkand, Uzbekistan baru-baru ini.
Menteri Pendidikan merangkap Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya menyifatkan kejayaan itu sebagai pengiktirafan dunia terhadap kepimpinan, sumbangan serta keupayaan negara dalam memacu agenda global pendidikan, sains dan kebudayaan demi kesejahteraan inklusif.
"Mewakili Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua negara anggota UNESCO yang memberikan kepercayaan ini.
"Kejayaan ini hasil usaha pasukan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO di Paris.
"Begitu juga Kementerian Luar Negeri (KLN) dan rakan-rakan strategik yang sentiasa komited memperjuangkan kepentingan bersama di peringkat global," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
September tahun lalu, KPM memaklumkan bahawa Malaysia bertanding merebut kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO bagi penggal tersebut.
Mengulas lanjut, Fadhlina berpandangan, pemilihan Malaysia adalah amanah untuk memastikan suara negara-negara membangun, khususnya di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik terus didengari serta dihormati.
Jelasnya lagi, ia menyerlahkan komitmen berterusan negara untuk membina masa hadapan yang lebih inklusif, aman dan lestari untuk generasi akan datang.
"Malaysia akan terus menjadi rakan yang strategik, proaktif dan konstruktif di UNESCO.
"Selain itu, memacu dasar yang memartabatkan pendidikan berkualiti, memperkukuh sains dan teknologi untuk pembangunan mampan serta memelihara warisan budaya dan alam sekitar dunia.
"Menerusi mandat baharu ini, Malaysia akan memainkan peranan strategik dalam membentuk hala tuju UNESCO untuk empat tahun akan datang, sejajar aspirasi Malaysia Madani dan Agenda Matlamat Pembangunan Mampan 2030," ujarnya lagi.
Ringkasan AI
- Malaysia dipilih sebagai Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO untuk penggal 2025 hingga 2029
- Pemilihan ini diumumkan di Persidangan Agung UNESCO Ke-43 di Samarkand, Uzbekistan
- Kejayaan ini dianggap sebagai pengiktirafan dunia terhadap kepimpinan Malaysia dalam agenda global pendidikan, sains, dan kebudayaan
- Pemilihan Malaysia menunjukkan amanah untuk memastikan suara negara-negara membangun di Asia Tenggara dan Asia Pasifik didengari
- Malaysia berkomitmen untuk membina masa depan yang lebih inklusif, aman, dan lestari serta memainkan peranan strategik di UNESCO
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

