Adik tetak abang gara-gara tendang pintu bilik air

Seorang lelaki parah selepas ditetak adiknya sendiri dalam kejadian pergaduhan di sebuah rumah di Ayer Tawar pada Jumaat.
Seorang lelaki parah selepas ditetak adiknya sendiri dalam kejadian pergaduhan di sebuah rumah di Ayer Tawar pada Jumaat.
A
A
A

MANJUNG - Seorang lelaki parah selepas ditetak adiknya sendiri dalam kejadian pergaduhan di sebuah rumah di Ayer Tawar di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa berusia 56 tahun dilaporkan mengalami kecederaan di kepala dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Seri Manjung.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, panggilan kejadian itu diterima daripada orang awam memaklumkan mengenai pergaduhan dua beradik lelaki di sebuah rumah

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Ayer Tawar telah menahan seorang lelaki berusia lingkungan 50-an pada jam 1.55 petang, tidak lama selepas kejadian.

“Turut dirampas sebilah parang yang dipercayai digunakan untuk menetak mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan diberikan, mangsa tinggal serumah bersama suspek sekeluarga.

Katanya, pergaduhan dipercayai berlaku berpunca apabila suspek tidak berpuas hati terhadap tindakan abangnya menendang pintu bilik air ketika anak perempuannya masih berada di dalam bilik air tersebut.

"Suspek kemudian bertindak menyerang mangsa dengan parang hingga menyebabkan kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.

Hasbullah berkata, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah dengan senjata.

Artikel Berkaitan:

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Munawarah Ahmad di talian 011-1624 0391, atau Bilik Gerakan IPD Manjung di 05-688 6222 / talian WhatsApp Hotline 017-682 8005 bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!