Pahang ulangi kutipan hasil lebih RM1 bilion empat tahun berturut-turut

Wan Rosdy menyempurnakan gimik pelancaran Visit Malaysia 2025-Pahang First di KOMPSAS, pada Khamis.
Wan Rosdy menyempurnakan gimik pelancaran Visit Malaysia 2025-Pahang First di KOMPSAS, pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang mengulangi pencapaian kutipan hasil melebihi RM1 bilion tahun ini, sekali gus merekodkan kejayaan tersebut untuk empat tahun berturut-turut sejak 2022.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehingga 6 November ini, kerajaan negeri telah berjaya mengutip hasil mencecah angka seperti disasarkan itu.

"Mulai hari ini (Khamis) saya dapat sahkan hasil kerajaan negeri telah mencapai sasaran.

"Saya yakin kutipan hasil negeri keseluruhan akan lebih daripada itu sehingga hujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Visit Malaysia 2026-Pahang First di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah (KOMPSAS) di sini pada Khamis.

Sementara itu, Wan Rosdy berterima kasih kepada semua terutamanya penjawat awam, barisan kepimpinan kerajaan dan semua rakyat termasuk pembayar cukai yang menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan penuh dedikasi.

"Kejayaan ini tidak akan dicapai tanpa usaha dan kesepaduan berterusan semua pihak untuk sama-sama merealisasikan sasaran tersebut.

"Sepertimana yang saya janjikan, hasil ini akan dibagi balik kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy mengulangi jaminan sekiranya kutipan hasil mencapai RM1.6 bilion tahun ini, kerajaan negeri bersedia untuk memberi bantuan khas kewangan dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri.

Artikel Berkaitan:

"Kalau dapat dan jika sebaliknya saya tetap bagi jaminan bila dah capai RM1 bilion ini, bayaran tidak kurang dari tahun sebelumnya, 1.5 bulan," katanya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Pahang berjaya kutip hasil melebihi RM1 bilion untuk empat tahun berturut-turut sejak 2022
  • Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, mengumumkan pencapaian kutipan hasil sehingga 6 November
  • Kutipan hasil dijangka melebihi sasaran hingga hujung tahun
  • Wan Rosdy berterima kasih kepada semua pihak termasuk penjawat awam dan rakyat atas dedikasi mereka
  • Penjawat awam negeri akan menerima bantuan khas kewangan sekiranya kutipan hasil mencapai RM1.6 bilion

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!