Cubaan larikan diri gagal, pemandu bas kilang ditahan

BUTTERWORTH - Seorang pemandu bas kilang yang memecut kenderaannya sejauh lima kilometer ketika cuba melarikan diri berjaya ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Khas Bas Pekerja di Bayan Lepas awal pagi Jumaat.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, anggotanya berjaya menahan pemandu itu di kawasan Batu Maung.
"Ketika kejadian lelaki berusia 39 tahun itu baru sahaja menurunkan pekerja dan dipercayai dalam perjalanan pulang ke depoh.
"Hasil pemeriksaan mendapati pemandu berkenaan tidak mempunyai lesen kenderaan pengangkutan (PSV), selain bas itu juga tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Pulau Pinang di Seberang Jaya di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, semakan turut mendapati pemandu berkenaan mempunyai 10 saman yang belum selesai melibatkan kesalahan sama, iaitu tiada lesen PSV, insurans dan LKM.
Operasi yang dijalankan bermula 5 pagi itu turut mengesan beberapa pengusaha yang menggajikan warga asing sebagai pemandu kenderaan pekerja dan ini satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
Zulkifly berkata, dalam operasi itu, sebanyak 215 bas diperiksa dengan 26 bas pekerja diambil tindakan, 81 dikenakan saman manakala 20 bas turut disita. - Bernama
Ringkasan AI
- Seorang pemandu bas kilang ditahan JPJ selepas mengejar selama lima kilometer di Bayan Lepas
- Pemandu itu berusia 39 tahun dan tidak mempunyai lesen kenderaan pengangkutan PSV, insurans, dan Lesen Kenderaan Motor
- Pemandu berkenaan juga mempunyai 10 saman yang belum selesai atas kesalahan sama
- Operasi khas JPJ memeriksa 215 bas dengan 26 bas pekerja dikenakan tindakan
- Seramai 81 bas dikenakan saman dan 20 bas disita dalam operasi tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
