Daripada impian melancong kepada mimpi ngeri

Gambaran situasi anak muda ditahan di lapangan terbang kerana menyeludup dadah. Foto dijana Google AI Studio.
Gambaran situasi anak muda ditahan di lapangan terbang kerana menyeludup dadah. Foto dijana Google AI Studio.
A
A
A

SEPERTI tiada penyudahnya berita mengenai anak muda dimanipulasikan dengan tawaran melancong dan dijanjikan upah ribuan ringgit, tetapi perlu menyelesaikan tugasan terlebih dahulu iaitu menyeludup barang ke luar negara.

Berdasarkan kes terbaharu yang berjaya dibongkarkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), empat individu ditahan ketika cuba menyeludup 86 kilogram bunga ganja bernilai RM8.3 juta pada Isnin lalu.

Keempat-empat mereka terdiri daripada anak muda berusia lingkungan 20-an, menerima tawaran kerja menerusi TikTok dan diberi tugasan membawa barangan sambil melancong ke Manchester, United Kingdom (UK) dengan upah antara RM8,000 hingga RM11,000.

Menurut Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, cubaan itu terbongkar apabila bagasi salah satu pasangan diimbas semula selepas mereka tidak dibenarkan menaiki pesawat.

Selain itu, kata beliau, pemeriksaan lanjut membawa kepada penahanan dua lagi individu yang mendaftar masuk lebih awal.

Diberi peluang melancong ke luar negara, siapa yang tak nak? Namun, siapa sangka di sebalik janji manis itu tersembunyi muslihat jenayah yang mampu memusnahkan masa depan seseorang.

Fenomena sebegini menunjukkan bagaimana media sosial menjadi medan bagi sindiket jenayah antarabangsa merekrut orang baharu untuk melaksanakan kerja kotor itu.

Ramai anak muda yang terdesak mencari pendapatan tambahan sehingga akhirnya menjadi ‘keldai dadah’.

Sekali tertangkap, mereka bukan sahaja berdepan hukuman berat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, malah masa depan, nama baik dan kebebasan diri turut hancur.

Artikel Berkaitan:

Sebagai masyarakat, kita perlu peka dan berani menolak tawaran kerja mencurigakan lebih-lebih lagi menerusi hebahan iklan yang belum jelas kesahihannya.

Tawaran kerja yang tidak disertakan butiran majikan, jenis barangan atau itinerari perjalanan sepatutnya menjadi tanda amaran.

Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah tergoda dengan janji wang ringgit kerana sindiket dadah kini semakin kreatif menyamar dalam pelbagai bentuk termasuk menggunakan pelancongan sebagai ‘topeng’ aktiviti haram.

Mohd Shuhaily ketika sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis turut menyampaikan nasihat agar sentiasa berhati-hati dengan tawaran kerja dalam talian yang terlalu menggiurkan.

Tegas beliau lagi, AKPS akan berusaha memperketat pemeriksaan di pintu masuk negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan.

Justeru, dalam dunia yang semakin mendepani era digital, keberanian berkata ‘tidak’ kepada tawaran mencurigakan adalah benteng utama bagi seseorang individu untuk mempertahankan diri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!