Pemberian Khas Sabah: Jabatan Peguam Negara akan teliti alasan penghakiman

SHAH ALAM – Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan telah menerima alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung tuntutan Pemberian Khas Negeri Sabah bagi tahun 1974 hingga 2021.
AGC dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya akan meneliti alasan penghakiman tersebut sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
"Jabatan ini akan meneliti secara mendalam alasan penghakiman serta mempertimbangkan semua aspek perundangan yang berkaitan sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, mahkamah memutuskan kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.
Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Datuk Celestina Stuel Galid yang menyifatkan pemberian khas yang dibuat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah sebagai 'tidak sah, ultra vires dan tidak rasional' serta melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, adalah tidak sah bagi pihak kerajaan Persekutuan untuk membuat pemberian khas sebagaimana yang dimaksudkan di bawah Jadual Kesepuluh.
Dalam penghakiman itu, mahkamah mendapati Perintah Semakan Kedua dan Ketiga (Second dan Third Review Order) yang dikeluarkan oleh kedua-dua kerajaan adalah tidak sah, dan seterusnya membenarkan permohonan sepenuhnya oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS).
Mahkamah turut mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan kerajaan Persekutuan mengadakan semakan semula hasil bersama kerajaan negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi menegakkan semula hak 40 peratus hasil Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.
Perintah tersebut menetapkan supaya semakan dibuat dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama antara kedua-dua kerajaan perlu dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.
Ringkasan AI
- Jabatan Peguam Negara menerima alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan tuntutan Pemberian Khas Negeri Sabah dari tahun 1974 hingga 2021
- AGC akan meneliti alasan penghakiman tersebut sebelum mengambil tindakan lanjut
- Mahkamah mendapati tindakan kerajaan Persekutuan gagal menunaikan hak Sabah atas 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad adalah tidak sah dan melampaui kuasa
- Keputusan penghakiman menyatakan pemberian khas antara kerajaan Persekutuan dan Sabah sebagai tidak sah dan melanggar Perlembagaan
- Mahkamah mengeluarkan perintah mandamus untuk kerajaan Persekutuan mengadakan semakan semula hasil bersama Sabah bagi menegakkan hak 40 peratus hasil bagi tahun kewangan 1974 hingga 2021
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

