Tiada pertembungan kerusi PH-BN pada PRN Sabah - Saifuddin Nasution

PUTRAJAYA - Rundingan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 telah dimuktamadkan dan tidak ada pertembungan antara kedua-dua parti, kata Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata rundingan PH dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga hampir selesai sepenuhnya kecuali membabitkan satu kerusi yang masih dalam pertimbangan kedua-dua pihak.
"Kami masih ada masa sebelum tarikh penamaan calon pada 15 Nov ini dan saya yakin ia boleh diselesaikan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Jelajah Wira Madani di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini hari ini.
Program Jelajah Wira Madani itu adalah inisiatif dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menzahirkan penghargaan kerajaan kepada pasukan keselamatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus.
Program itu turut melibatkan pameran serta penyampaian bantuan awal persekolahan kepada 500 anak anggota polis.
"Kami lihat program ini memberi impak yang baik, jadi insya-Allah ia akan diteruskan dengan lebih menyeluruh pada tahun depan,” katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Rundingan pembahagian kerusi PRN Sabah antara PH dan BN telah selesai tanpa pertembungan
- Rundingan PH dengan GRS hampir selesai sepenuhnya kecuali satu kerusi
- Ada masa sebelum tarikh penamaan calon pada 15 Nov untuk selesaikan pertimbangan kerusi tersebut
- Program Jelajah Wira Madani merupakan inisiatif Perdana Menteri bagi penghargaan kepada pasukan keselamatan
- Program melibatkan pameran dan penyampaian bantuan persekolahan kepada anak anggota polis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
