Laman Sekupang MPSPK tawar tapak niaga 10 Sen

SUNGAI PETANI - Laman Sekupang diperkenalkan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) Oktober lalu dilihat berupaya membantu peniaga merancakkan ekonomi setempat sekali gus tarikan baharu di bandar ini.
Salah seorang peniaga, Noor Azlina Abd Kader, 44, berkata, tawaran caj serendah 10 sen bagi setiap tapak ternyata membantu golongan peniaga meneruskan perniagaan masing-masing di kawasan disediakan.
Menurutnya, kedudukan strategik Laman Sekupang yang terletak berdekatan Wisma Ria di sini turut mempengaruhi kehadiran pengunjung yang semakin meningkat.
"Macam-macam jenis makanan ada dari A sampai Z, semua sedap, masa rehat tengah hari boleh mai...nasi, laksa, semua ada," katanya.
Menurut Noor Azlina, proses pendaftaran dengan bayaran dibuat setiap hari melalui kakitangan MPSPK yang bertugas di tapak.
"Nak masuk tapak, datang daftar dulu di khemah MPSPK, bayar sekupang tapi kena beratur panjanglah... ada peniaga datang seawal 8 pagi sebab nak pilih tapak.
"Bagus buat tapak sekupang ni, galak orang ramai datang...'sales' meningkat bila ramai orang mai, barang jualan habis, sampai ada yang nak berniaga hari-hari, tak cuti," jelasnya.

Seorang lagi peniaga, Ahmad Abdullah, 72, berkata, tapak ditawarkan dengan harga 10 sen dilihat sangat berbaloi.
"Murah sangat sekupang, tempat pun cantik, ramai orang boleh berniaga di situ untuk menambah ekonomi Bumiputera.
"Setakat ni tak dak lagilah sekupang macam ni, bila orang tanya, orang pelik juga," ujarnya.
Sementara itu, Yang Dipertua MPSPK, Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah berkata, inisiatif itu sebagai sokongan, peranan dan tanggungjawab pihaknya dalam memberi peluang rakyat meneruskan perniagaan tanpa membebankan.
"Dimaklumkan bilangan pengunjung mencecah 300 orang sehari, pendapatan jualan mereka juga diberitahu meningkat antara RM200 hingga RM400 sehari.
"Setakat ini ada 124 tapak dan masih ada kosong, kita juga sedang mempertimbangkan aktiviti jualan diteruskan pada sebelah malam sekiranya ada permintaan termasuk penglibatan 'car boot sales' berbanding sebelum ini operasi bermula 10 pagi hingga 7 malam," jelasnya.
Tunku Iskandar Shah ditemui ketika hadir ke Program Mesra Komuniti Laman Sekupang 2025 di MPSPK pada Khamis.
Tambahnya, MPSPK kini dalam perancangan mewujudkan dua lagi Laman Sekupang iaitu di Bandar Puteri Jaya dan Bandar Laguna Merbok, Disember ini.
Ringkasan AI
- Laman Sekupang diperkenalkan oleh MPSPK untuk membantu peniaga.
- Caj tapak serendah 10 sen menarik peniaga untuk berniaga.
- Lokasi strategik berdekatan Wisma Ria meningkatkan kehadiran pengunjung.
- Peniaga melaporkan peningkatan jualan dan minat berniaga setiap hari.
- MPSPK merancang untuk mewujudkan lebih banyak Laman Sekupang di lokasi lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

